RAMPASAN barangan dalam operasi di sekitar Pelabuhan Klang. FOTO Ihsan KPDNHEP
Siti A’isyah Sukaimi
sitiaisyah@hmetro.com.my


JUAL dengan harga lebih kurang sama dengan yang asli namun, sebaliknya ia adalah tiruan.

Itu aktiviti haram dijalankan dua premis yang ditumpaskan menerusi operasi barang tiruan di sekitar Pelabuhan Klang jam 10.50 pagi tadi.

Difahamkan, minyak pelincir tiruan itu bukan saja dijual untuk edaran sekitar Lembah Klang malah turut dijual di Sabah dan Sarawak.

Timbalan Pengarah Cawangan Operasi Khas, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Rosli Ahmad berkata, operasi bersepadu yang dijalankan itu di sebuah kilang memproses minyak pelincir dan premis menjual alat ganti kenderaan.

“Operasi disertai lapan anggota pegawai penguat kuasa KPDNHEP bersama sembilan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) Cawangan Khas Bukit Aman serta pemilik cap dagang.

“Serbuan dibuat berikutan aduan diterima daripada pemilik cap dagang berkenaan dan hasilnya, lapan warga asing membabitkan Indonesia dan Bangladesh serta seorang warga Malaysia kesemuanya berusia antara 18 hingga 40 tahun ditahan,” katanya pada sidang media di Putrajaya, hari ini.

Timbalan Pengarah Cawangan Operasi Khas KPDNHEP, Rosli Ahmad menunjukkan minyak pelincir yang dirampas. FOTO Siti A’isyah Sukaimi

Berikutan itu, beliau berkata, tindakan kes diambil mengikut Seksyen 8(2)(c), Akta Perihal Dagangan 2011 iaitu mendedahkan untuk pembekalan atau mempunyai dalam milikan, jagaan atau kawalannya untuk pembekalan apa-apa barang yang baginya suatu perihal dagangan palsu digunakan.

Katanya, antara barangan disita di kedua-dua premis itu ialah minyak pelincir pelbagai jenama; mesin dan peralatan memproses minyak pelincir; kenderaan bermotor lori dianggarkan bernilai RM854,300.

Dalam pada itu, Rosli berkata, sekiranya orang itu bukan satu pertubuhan perbadanan, didenda tidak lebih RM10,000 bagi setiap barangan yang diletakkan perihal dagangan palsu atau hukuman penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

“Bagi kesalahan kedua dan seterusnya, denda tidak melebihi RM20,000 bagi setiap barangan yang menggunakan perihal dagangan palsu atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya.

“KPDNHEP akan terus bekerjasama dengan pemilik cap dagang dan agensi lain dalam usaha melindungi hak pengguna dan juga hak harta intelek milik industri,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau menasihatkan pengguna supaya mendapatkan pembelian bagi minyak pelincir hanya daripada pihak yang sah sekali gus bagi mengelak ditipu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 Mac 2019 @ 8:22 PM