Antara wanita yang diperiksa dalam serbuan dilakukan JIM di sebuah pusat hiburan di Klang. FOTO Ihsan JIM
Hasbi Sidek
am@hmetro.com.my


PREMIS hiburan yang menjadi sarang kupu-kupu malam dengan menyediakan wanita pelayan pelanggan (GRO) warga asing kepada pelanggan di Klang, diserbu Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), malam tadi.

Operasi dijalankan Unit Operasi Khas JIM Putrajaya dengan kekuatan 15 pegawai dan anggota pada 10 malam.

Serbuan dilakukan selepas risikan awal mendapati pusat hiburan yang beroperasi di premis tiga tingkat itu menggunakan GRO warga asing sebagai penarik pelanggan.

Ketua Pengarah Imigresen Datuk Khairul Dzaimee Daud berkata, wanita warga asing itu didapati berperanan sebagai meneman, menghidangkan minuman keras dan beramah mesra dengan pelanggan untuk mendapatkan tips.

“Setiap bucket (bekas) minuman keras yang dipesan pelanggan melalui GRO, membolehkan mereka menerima 15 peratus daripada harganya.

“Terdapat juga aktiviti kalung bunga bermula dari harga RM10 hingga RM300 dan persembahan nyanyian serta tarian atas pentas,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurutnya, ketika serbuan terdapat beberapa GRO cuba meloloskan diri daripada ditahan hingga ada yang cuba menolak dan merempuh pegawai yang menjaga pintu belakang premis serta cuba menyamar sebagai pelanggan.

“Ada juga yang menyorok di bawah meja minuman tetapi semua cubaan itu berjaya digagalkan oleh pegawai imigresen.

“Hasil pemeriksaan, kami berjaya menahan 20 wanita warga asing yang terdiri daripada 16 wanita warga Vietnam, tiga (Thailand) dan seorang wanita warga Myanmar yang menjadi ‘flower mummy’ di premis itu.

“Turut ditahan dua lelaki warga Bangladesh yang bekerja di premis. Semua mereka berusia antara 20 hingga 45 tahun.

“Selain itu, enam warga tempatan terdiri daripada empat lelaki dan dua wanita turut ditahan kerana menguruskan dan mempunyai kaitan dengan kelab malam itu,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, setiap wanita GRO dipercayai mampu mengaut keuntungan beratus ringgit untuk satu malam.

“Wanita GRO ini juga mempunyai buku catatan di mana setiap jualan dan tips harian mereka akan ditulis sebagai rujukan mereka untuk mendapatkan bayaran.

“Sebuah kenderaan dan wang tunai sebanyak RM1,045 turut disita dalam operasi berkenaan.

“Seramai lima pelanggan yang berada di dalam premis ketika serbuan dikenakan notis hadir memberi keterangan bagi membantu siasatan,” katanya.

Menurutnya, pihaknya menjalankan siasatan mengikut Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007, Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

Katanya, kesemua tahanan warga asing itu dihantar ke Depot Tahanan Semenyih untuk tindakan selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 Mac 2019 @ 8:00 PM