FOTO Hiasan
Sarah Zulkifli
sarah@hmetro.com.my


PEGAWAI polis berpangkat Inspektor antara lima lelaki yang didakwa di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya, atas pertuduhan melakukan samun berkumpulan terhadap seorang kerani wanita, awal bulan ini.

Inspektor Mohamad Shahrul Izuairi Ibrahim, 38; Nik Abdul Azim Nik Borahanuddin, 24 dan Wan Zakaria Zaidi, 29, masing-masing peniaga kedai makan; pekerja kedai runcit, Mohamad Zulhairi Kamaruddin, 19; dan penganggur, Kamarubaisham Abdullah, 39, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan ke atas mereka dibacakan secara bersama di hadapan Hakim Norshila Kamaruddin.

Mengikut pertuduhan, mereka didakwa menyamun seorang wanita, As Afirah Chai Abu Bakar Abdullah, 21, dan merompak wang tunai bernilai RM700, enam jenis telefon bimbit pelbagai jenama, dua utas jam serta sebuah komputer riba milik wanita itu.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah rumah di Pangsapuri Sri Cempaka, Jalan Persiaran Indera, Puchong, Selangor, jam 3.30 pagi, 3 Mac lalu.

Dakwaan mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebat, jika sabit kesalahan.

Sementara itu, Mohamad Shahrul Izuari dan Mohamad Zulhairi, masing-masing turut didakwa atas satu lagi pertuduhan memiliki harta curi, komputer riba dan seutas jam tangan bersabit kejadian dan mangsa sama.

Kesemua kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah rumah di Perumahan Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kelompok Teratai, Taman Keramat, Wangsa Maju, Kuala Lumpur, dan di Restoran Shah Maju, Jalan Bunga Tanjung, Taman Putra, Ampang, Selangor, antara 4.30 petang dan 7 malam, 5 Mac lalu.

Bagi kesalahan itu, dia didakwa memiliki harta curi mengikut Seksyen 412 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Asyraf Ashy’ari Kamaruzzaman tidak menawarkan sebarang jaminan ke atas semua tertuduh namun memohon mahkamah mengenakan syarat tambahan jika jaminan dibenarkan.

Bagaimanapun, peguam Mohd Redzuan Mohamed Yusoff yang mewakili kesemua tertuduh memohon jaminan dalam lingkungan RM5,000 ke RM8,000 dengan seorang penjamin bagi kesalahan samun berkumpulan dan jaminan sekitar RM1,000 hingga RM3,000 bagi kesalahan memiliki harta curi.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh Mohamad Shahrul Izuari dan Mohamad Zulhairi diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin manakala RM8,000 dengan seorang penjamin bagi tertuduh lain.

Selain itu, mahkamah turut mengarahkan tertuduh menyerahkan pasport ke mahkamah sehingga kes selesai serta melaporkan diri sebulan sekali ke balai polis berhampiran dan menetapkan 7 Mei depan untuk sebutan semula kes.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 Mac 2019 @ 5:39 PM