Antara wanita Vietnam yang ditahan di premis urut di tingkat tiga dekat Dataran Mentari di Petaling Jaya. FOTO Ihsan PDRM
Hasbi Sidek
am@hmetro.com.my


BOLEH pilih sendiri wanita pelayan pelanggan (GRO) yang diminati menerusi aplikasi telefon pintar menjadi tawaran sindiket pelacuran bagi menarik pelanggan.

Sindiket yang berpusat di sebuah premis urut di tingkat tiga dekat Dataran Mentari di Petaling Jaya menggunakan ‘kaedah pemasaran’ itu sebagai medium untuk mempromosikan kegiatan mereka.

Bagi mengelak aktiviti mereka tidak terkantoi, mereka turut melengkapkan pintu berakses di premis berkenaan dan hanya pelanggan yang dikenali atau pelanggan tetap saja dibenarkan masuk ke pusat hiburan eksklusif itu.

Bagaimanapun, aktiviti tidak bermoral mereka itu tidak `kebal’ apabila Bahagian Siasatan Jenayah Maksiat, Judi dan Kongsi Gelap (D7) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor melakukan serbuan terhadap premis itu, petang semalam.

Ketua Operasi Asisten Superintendan Rozam Effandy Raslee berkata, bertindak hasil maklumat dan risikan, serbuan dijalankan pada 6.30 petang.

“Hasil pemeriksaan ketika operasi ini, kami berjaya menahan seramai lapan wanita warga Vietnam berusia lingkungan 18 hingga 25 tahun disyaki bekerja sebagai tukang urut di premis terbabit.

“Turut ditahan bagi membantu siasatan adalah dua lelaki tempatan iaitu pekerja dan penjaga selain seorang lelaki warga Bangladesh,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Rozam Effandy berkata lagi, pihaknya yakin premis berkenaan menjalankan kegiatan persundalan selepas pemeriksaan lanjut menjumpai 58 peket kondom selain rampasan beberapa barang lain seperti tuala, tisu basah, minyak urut serta pil perangsang.


ANTARA GRO warga asing ditahan kerana menyalahgunakan pas lawatan sosial.

Mengulas lanjut, beliau mendedahkan, siasatan mendapati premis yang beroperasi sejak tiga bulan lalu itu turut menawarkan khidmat seks dengan harga RM160 hingga RM550 bergantung kepada pakej yang disediakan.

“Tawaran perkhidmatan itu juga dibuat menerusi aplikasi telefon pintar sekali gus membolehkan pelanggan memilih gadis diminati,” katanya.

Menurutnya, siasatan lanjut masih dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963, Seksyen 372B Kanun Keseksaan dan Seksyen 6(1) Enakmen Hiburan dan Tempat-Tempat Hiburan Selangor 1995.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 Mac 2019 @ 5:14 PM