MANGSA. FOTO Ihsan Pembaca
Nor Farhani Che Ad
am@hmetro.com.my


PENUNGGANG dan pembonceng motosikal maut selepas motosikal yang dinaiki terbabas di Jalan Bakar Sampah, di Sungai Petani, semalam.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda Asisten Komisioner Adzli Abu Shah berkata, dalam kejadian jam 12.05 tengah malam itu, lelaki berusia 17 dan 25 tahun maut di tempat kejadian akibat parah di kepala dan bahagian dada.

“Dalam kejadian itu, motosikal terbabit datang dari arah Sungai Petani menghala ke Bakar Sampah.

“Penunggang motosikal dikatakan menunggang dengan laju ketika sampai di tempat kejadian menyebabkan motosikalnya hilang kawalan sebelum terjatuh.

“Penunggang dan pembonceng kemudian tercampak ke pagar besi penghalang tepi jalan raya,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, akibat kemalangan itu, kedua-dua mangsa meninggal dunia di tempat kejadian dan mayat mangsa dibawa ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) untuk bedah siasat.

Katanya, siasatan lanjut masih dijalankan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 Mac 2019 @ 10:12 AM