MOHD Aseri bersama isteri, Sakiah menyusun buah tembikai yang ditanam mereka untuk dijual di gerainya di Kampung Haji Wan Omar, Semerak. -Foto NSTP
Siti Nor Hidayatidayu Razali
sitinor@nstp.com.my


PASIR PUTEH: Musim kemarau kali ini memberi rezeki kepada petani apabila tembikai yang ditanam mereka mendapat permintaan tinggi dan mampu menjual lebih 40 tan buah-buahan itu dalam tempoh sebulan.

Petani, Mohd Aseri Jusoh, 50, berkata, disebabkan cuaca yang agak panas, dia mampu menjual tembikai lebih lima tan sehari di gerainya di kampung Haji Wan Omar, Semerak, di sini.

Katanya, tembikai berkenaan ditanam sendiri di kebun berdekatan dan dijual di gerainya serta kepada pemborong.

“Tembikai ini saya jual dengan harga antara RM1 hingga RM1.60 sekilogram mengikut gred buah-buahan iaitu yang kecil lebih murah dan besar sedikit mahal.

“Alhamdulillah, musim panas ini permintaan terhadap tembikai agak tinggi, namun pengeluaran buah ini di kebun tidak memberangsangkan kerana tanah yang kering.

“Berbanding musim hujan, saya mampu mengeluarkan lebih 60 tan tembikai dalam tempoh sebulan,” katanya ketika ditemui.

Bapa kepada lima anak itu berkata, dia bersyukur kerana buah tembikai musim kemarau ini lebih berkualiti dan manis.

Menurutnya, selain tembikai dia turut menanam tembikai susu, timun betik, jagung dan ubi keledek.

Katanya, dia dan isteri, Sakiah Awang Besar, 46, mengutip sendiri tembikai di kebun di samping mengupah beberapa pekerja.

Sementara itu, peniaga, Noryn Ashikin Daud, 19, berkata, dia dan kakak iparnya, Nor Hazliyati Zakaria, 27, mengambil bekalan tembikai dari pekebun di kawasan Bachok dan Pasir Puteh yang dijual secara runcit di kedai serta turut dijual kepada pemborong dari Kelantan, Terengganu dan Pahang.

“Sejak sebulan lalu, saya mampu menjual lebih 60 tan tembikai kerana permintaan yang menggalakkan.

“Faktor cuaca yang panas juga menyebabkan orang ramai membeli tembikai bagi menghilangkan dahaga,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 Mac 2019 @ 8:30 AM