Roselan Ab Malek
am@hmetro.com.my


SEKUMPULAN pelancong dari Romania teruja melihat kemunculan seekor gajah jantan ketika berkunjung ke Taman Negara, Kuala Tahan, Jerantut, kelmarin.

Gajah dianggarkan berusia 10 tahun itu dipercayai keluar dari hutan akibat cuaca panas dan dilihat meminum air serta mencari makanan di tepi Sungai Tembeling.

Pemandu pelancong, Afzal Abdul Aziz, 40, berkata, dia tidak menyangka akan terserempak dengan haiwan berkenaan ketika membawa pelancong masuk ke Taman Negara.

“Mereka sangat teruja melihat kemunculan gajah berkenaan dan sempat merakamkan gambar serta video haiwan itu.

“Saya dimaklumkan mereka sudah berkunjung ke Taman Negara sejak tiga tahun lalu, namun baru kali ini mereka berpeluang melihat gajah di depan mata,” katanya .

Menurutnya, gajah berkenaan muncul ketika mereka dalam perjalanan dari Kuala Keniam menuju ke Kuala Tahan dengan menaiki bot.

Katanya, difahamkan ia kejadian ketiga dalam bulan ini apabila pelancong terserempak dengan haiwan itu.

“Kebanyakan pelancong teruja dan menyifatkan percutian mereka berbaloi kerana berpeluang melihat gajah liar dari jarak dekat.

“Haiwan itu tidak bertindak agresif kerana ia hanya keluar mencari air dan makanan.

“Ini secara tidak langsung boleh menjadi tarikan baharu kepada pelancong yang datang ketika musim panas melanda negara pada masa ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 Mac 2019 @ 2:03 AM
GAJAH jantan muncul di tebing sungai Tembeling di kawasan Taman Negara, Kuala Tahan, Jerantut, kelmarin. (Gambar kecil), Afzal.