Keadaan kebakaran hutan di Taman Bukit Mewah, Kajang sebelum berjaya dipadamkan pasukan bomba. FOTO Ihsan JBPM
Mohd Azam Shah Yaacob
mohdazam@hmetro.com.my


ANGGOTA bomba mengambil masa kira-kira tiga jam bagi mengawal kebakaran hutan di Taman Bukit Mewah, Kajang yang berlaku pada 6.30 petang semalam.

Pusat Gerakan Operasi Selangor dalam satu kenyataan malam tadi berkata, seramai 19 anggota serta pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kajang, BBP Bangi, BBP Pandan dan BBP Cyberjaya terbabit dalam operasi pemadam hutan berkenaan.

Menurutnya, empat jentera penyelamat (FRT), dua jentera air serta dua Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) turut dikejarkan ke lokasi.

“Ketika jentera pertama sampai, api di kawasan berkenaan sedang marak dan bomba menggunakan kaedah ‘waterbreak’ bagi memadamkan api.

“Keadaan api sedikit sukar dikawal berikutan keadaan gelap,” katanya.

Menurut kenyataan itu lagi, api berjaya dikawal sepenuhnya pada 10 malam dan tidak membabitkan sebarang kejadian buruk atau kecederaan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 Mac 2019 @ 1:00 AM