Rumah kedai yang menjadi hostel pekerja terbakar. (Gambar Kecil) Mangsa yang berjaya diselamatkan anggota bomba. FOTO Ihsan JBPM
Mohd Azam Shah Yaacob
mohdazam@hmetro.com.my


LELAKI warga Indonesia bernasib baik apabila diselamatkan anggota bomba selepas rumah kedai didiaminya di Taman Gemilang, Kuala Lumpur terbakar dalam kejadian pada 10 malam tadi.

Mangsa berusia lingkungan 30-an yang terperangkap dalam bilik di tingkat dua premis itu tidak sempat melarikan diri selepas menyedari rumah kedai yang dijadikan hostel pekerja itu terbakar.

Pusat Gerakan Operasi (PGO) Kuala Lumpur dalam satu kenyataan berkata, bomba menerima panggilan kecemasan pada 10.04 malam dan segera menghantar jentera ke tempat kejadian.

“Sebaik jentera pertama tiba, didapati sebuah rumah kedai dua tingkat sedang terbakar dan dimaklumkan seorang lelaki terperangkap di sebuah bilik.

“Tindakan pantas anggota kemudiannya berjaya menyelamatkannya dan lelaki itu tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya.

Menurut kenyataan itu lagi, kebakaran berjaya dipadamkan sepenuhnya pada 10.30 malam menerusi operasi membabitkan 41 anggota serta pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Cheras, BBP Bandar Tun Razak dan BBP Hang Tuah.

“Operasi memadam rumah kedai berkenaan turut membabitkan empat jentera pemadaman (FRT) serta masing-masing satu unit jentera air dan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS).

“Hasil pemeriksaan lanjut selepas itu mendapati rumah kedai berkeluasan 1,400 kaki persegi itu musnah kira-kira 40 peratus,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 Mac 2019 @ 12:41 AM