ANGGOTA penguat kuasa MPSJ menyita kedai makanan melanggar syarat pada Operasi Bersepadu dijalankan di Serdang Perdana, Serdang, malam tadi. FOTO Muhd Zaaba Zakeria.
Nurul Hidayah Bahaudin
nurul.hidayah@hmetro.com.my


TUJUH kedai makan ditutup selepas didapati melanggar syarat undang-undang pelesenan dalam serbuan Operasi Bersepadu dijalankan Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) di Serdang Perdana, Serdang, malam tadi.

Operasi bermula 9 malam itu turut membongkar kegiatan sebahagian pemilik premis tempatan yang menyewa premis mereka kepada warga asing serta mengaji pekerja warga asing.

Pengarah Jabatan Pelesenan MPSJ, Muhammad Azli Miswan berkata, hasil pemeriksaan mendapati tujuh premis berkenaan melakukan pelbagai kesalahan termasuk keadaan kedai makan kotor.

“Kami mendapati tujuh kedai makan terbabit melanggar syarat undang-undang pelesenan dengan mengaji pekerja warga asing dan premis dalam keadaan kotor.

“Ada di antara kes pemilik premis tempatan menyewa premis mereka kepada warga asing.

“Pemeriksaan lanjut mendapati ada pasangan suami atau isteri kepada warga asing berkenaan adalah warga tempatan yang memiliki lesen,” katanya ketika ditemui di lokasi serbuan, hari ini.

Beliau berkata, tindakan tutup premis itu dibuat mengikut Undang-Undang Kecil Pelesenan Establishmen Makanan MPSJ 2007.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 Mac 2019 @ 12:35 AM