GAMBAR hiasan
Raja Norain Hidayah Raja Abdul Aziz
rnorain@hmetro.com.my


LELAKI disyaki mencuri pisang maut dilanggar sebuah kenderaan pacuan empat roda milik anak pemilik kebun pisang berkenaan dalam kejadian di Kampung Paya Lang, Mengkuang, Bera, semalam.

Mangsa berusia 25 tahun dikatakan menceroboh kebun pisang itu bersama dua lagi rakannya pada 2 pagi.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Pahang, Datuk Othman Nanyan berkata, kejadian itu disedari anak kepada pemilik kebun berkenaan selepas dimaklumkan pekerjanya.

“Apabila menyedari kehadiran anak pemilik kebun itu, mangsa bersama rakannya melarikan diri dengan menaiki dua motosikal.

“Anak pemilik kebun berkenaan cuba mengejar mangsa dengan menaiki kenderaan pacuan empat roda namun tidak berjaya.

“Bagaimanapun, ketika dalam perjalanan keluar dari kebunnya dia terserempak dengan mangsa sebelum melanggarnya,” katanya di Kuantan, hari ini.

Dia kemudiannya pergi ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bera untuk memaklumkan kejadian itu.

Mangsa kemudiannya dihantar ke Klinik Kesihatan Triang oleh rakannya sebelum disahkan meninggal dunia.

“Sehubungan itu, kami sudah menahan anak pemilik kebun berkenaan yang berusia 22 tahun bersama dua rakannya serta seorang pekerja warga Indonesia berusia antara 19 hingga 47 tahun.

“Kami turut menahan dua rakan mangsa berusia 31 dan 33 tahun bagi siasatan berhubung dakwaan cubaan mencuri pisang,” katanya.

Beliau berkata, siasatan dilakukan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh dan Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana mencuri.

Katanya, mayat mangsa dihantar ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HoSHAS), Temerloh untuk bedah siasat sebelum diserahkan kepada keluarganya untuk urusan pengebumian.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 Mac 2019 @ 12:20 AM