ANGGOTA polis mengangkat mayat Mohd Zulkifli (gambar kecil) untuk dibawa ke Unit Forensik HSNZ Kuala Terengganu selepas kemalangan di Kampung Wakaf Tembezu, malam tadi.
Ahmad Rabiul Zulkifli
cnews@nstp.com.my


LELAKI maut selepas motosikal ditunggangnya terbabas dan melanggar pembahagi jalan dalam kejadian di Kampung Wakaf Tembesu, Kuala Nerus, malam ini.

Dalam kejadian 7.10 malam itu, Mohd Zulkifli Rusdi, 30, dari Kampung Telaga Papan, Permaisuri yang menunggang motosikal Yamaha Ego LC dikatakan datang dari arah Batu Enam menuju ke persimpangan lampu isyarat berhampiran Gedung Kain Jakel di Gong Badak.

Difahamkan, mangsa dari arah belakang cuba memotong sebuah kenderaan berhenti di lampu isyarat, namun gagal mengawal kenderaan sebelum melanggar pembahagi jalan dan terjatuh.

Kemalangan itu menyebabkan mangsa yang berkerja sebagai pembantu penunda kereta maut di tempat kejadian berikutan parah di kepala.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Superitendan Suffian Sulaiman ketika dihubungi mengesahkan kejadian berkenaan.

“Mayat mangsa dirujuk ke Unit Forensik Hospital Sultanah Nuz Zahirah (HSNZ) untuk tindakan lanjut,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 Mac 2019 @ 12:13 AM