Kakitangan LUAS di kawasan Sungai Klang berdekatan Taman Eng Ann, Klang yang dipercayai tercemar dengan sisa bahan kimia. FOTO Ihsan LUAS
Dawn Chan
am@hmetro.com.my


SEBAHAGIAN Sungai Klang berdekatan Taman Eng Ann, Klang dikesan tercemar dengan bahan kimia yang masih belum dikenal pasti dipercayai dibuang pihak yang tidak bertanggungjawab, hari ini.

Pengarah Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) Datuk Hashim Osman berkata, pihaknya mengesan bahan pencemar itu memasuki aliran air di kawasan berkenaan selepas menerima aduan orang awam 6 petang tadi.

"Kami sudah mengambil sampel bahan kimia itu dan kemudiannya dihantar ke makmal untuk dianalisis bagi menentukan jenisnya.

"Pemeriksaan awal mendapati bahan kimia itu mungkin dibuang dalam sebuah kolam yang kemudian memasuki longkang sebelum mengalir ke Sungai Klang.

“Satu siasatan mendalam bagi kes ini akan dijalankan," katanya kepada media malam tadi.

Hashim berkata, LUAS sudah memaklumkan perkara itu kepada Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Majlis Perbandaran Klang (MPK), keadaan di kawasan itu masih terkawal.

"Pencemaran itu tidak akan memberi kesan kepada bekalan air berikutan ia terletak di hilir Sungai Klang dan tidak berbahaya kepada manusia.

“Ia mungkin memberi kesan kepada hidupan sungai tetapi bergantung kepada jenis bahan kimia yang belum kami kenal pasti, " katanya.

Sementara itu, Facebook LUAS turut berkongsi sekeping gambar di kawasan yang dikesan tercemar itu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 Mac 2019 @ 11:03 PM