DATUK Seri Mazlan Lazim. FOTO Aswadi Alias
Nurul Hidayah Bahaudin dan Sharul Nazri Zulkifli Chow
am@hmetro.com.my


TIGA individu terbabit dalam perhimpunan sempena Hari Wanita Sedunia yang turut disertai golongan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) akan dipanggil memberi keterangan, Isnin ini.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, setakat ini, enam individu termasuk tiga penganjur sudah dipanggil memberi keterangan.

“Enam individu sudah selesai memberikan keterangan.

“Tiga lagi individu akan direkodkan keterangan mereka pada 18 Mac ini,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur, hari ini.

Terdahulu, Harian Metro melaporkan polis sudah membuka kertas siasatan berhubung penganjuran perhimpunan haram golongan LGBT di ibu kota pada 9 Mac lalu.

Sebelum ini, Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Noor Rashid Ibrahim dilaporkan berkata, pihaknya akan memanggil penganjur acara itu bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 9(5) Akta Perhimpunan Aman 2012 kerana mengadakan perhimpunan tanpa kebenaran.

Lebih 1,000 orang dikatakan menyertai perhimpunan berkenaan bermula berhampiran kompleks beli belah Sogo sebelum berarak ke Masjid Jamek.

Difahamkan, ia disertai beberapa badan bukan kerajaan (NGO) antaranya Women’s Aid Organization (WAO), Sisters In Islam (SIS), aktivis serta pelajar.

Perhimpunan juga didakwa disertai penyokong LGBT yang antara lain membawa bendera warna pelangi selaku simbol golongan terbabit.

Antara perkara yang dituntut mereka pada perhimpunan itu adalah menghapuskan diskriminasi jantina, menghentikan keganasan terhadap wanita dan kesaksamaan gender.

Berita berkaitan

'Polis panggil penganjur Women's March'

'Selar perhimpunan LGBT'

'Himpunan LGBT: Haiwan pun 'pelik'

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 Mac 2019 @ 10:02 PM