SEBAHAGIAN petugas mengangkat barang untuk berpindah ke Stadium Tertutup Majlis Perbandaran Pasir Gudang. FOTO Mohd Azren Jamaludin
Hafidzul Hilmi Mohd Noor
hafidzul@hmetro.com.my


PUSAT Saringan di Dewan Komuniti Taman Pasir Putih dipindahkan ke Stadium Tertutup Majlis Perbandaran Pasir Gudang (MPPG), 8 malam ini.

Setiausaha Pasukan Bantuan Kecemasan Bersama Pasir Gudang (PAGEMA) Sharif Idrus berkata, pemindahan itu dilakukan selepas diarahkan pasukan Bomba dan Penyelamat Malaysia.

“Komander operasi pasukan bomba mengarahkan pusat dipindahkan kerana lokasi di stadium lebih luas dan kondusif.

“Setakat ini, perpindahan sudah dilakukan secara berperingkat sejak 3 petang tadi dan kita jangka perpindahan selesai selepas lawatan Perdana Menteri,” katanya ketika ditemui, hari ini.

Sharif berkata, operasi di pusat saringan baharu akan diperluaskan dengan pertambahan katil dan kelengkapan lebih banyak.

“Hari ini, kita menyaring 284 individu yang datang ke pusat saringan sebelum diserahkan kepada pihak hospital jika didapati serius,” katanya.

Tinjauan di kawasan berkenaan mendapati, pusat berkenaan kemungkinan ditutup atas faktor jarak dengan tempat toksik berkenaan.

Terdahulu kerja pembersihan Sungai Kim Kim yang dicemari bahan toksik sejak Khamis lalu, bermula 9 pagi tadi.

Pasukan Unit Bahan Berbahaya (Hazmat) Jabatan Bomba dan Penyelamat bersama Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Jabatan Alam Sekitar (JAS) serta kontraktor dipertanggungjawabkan berada di lokasi sejak 9 pagi tadi.

Kira-kira 10 pagi, pasukan terbabit melakukan kerja ‘plotting’ iaitu kerja mencari dan menanda tempat yang perlu dibersihkan sepanjang 1.5 kilometer hingga ke hulu sungai.

  • Lagi berita berkaitan gas beracun Sungai Kim Kim
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 Mac 2019 @ 9:36 PM