PENGARAH Pendidikan Negeri, Datuk Abu Bakar Sahari (tiga dari kanan) beramah mesra dengan pelajar cemerlang SPM. FOTO Khairunisah Lokman
Mohd Hilmie Hussin
mohdhilmie@nstp.com.my


TIDAK pernah menduduki tempat pertama dalam kelas, namun anak seorang peniaga membuktikan tiada mustahil jika berdisiplin mengikut jadual mengulang kaji pelajaran yang ditetapkan.

Bukan sahaja muncul satu-satunya pelajar di Sekolah Menengah Sains Muzaffar Shah (MOZAC), Melaka dengan memperoleh 10A+ dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2018.

Lebih manis, Muhammad Mursyidin Suratman, 18, juga tergolong antara enam pelajar yang memperoleh keputusan cemerlang di negeri itu.

“Guru memang mensasarkan enam pelajar di sekolah itu termasuk saya untuk memperoleh keputusan cemerlang.

“Tetapi saya tidak menyangka akan dapat keputusan sebaik ini sebab semua mata pelajaran susah,” katanya ketika ditemui selepas majlis pengumuman keputusan SPM 2018, hari ini.

Muhammad Mursyidin yang meraih keputusan 3A+ dan 7A pada peperiksaan percubaan berkata, dia mahu menyambung pelajaran dalam bidang kejuruteraan selain mahu menjadi usahawan.

Anak bongsu daripada lapan beradik itu berkata, selain belajar mengikut jadual di asrama, dia juga ringan tulang membantu ibunya membuat kuih-muih serta memasak nasi lemak untuk dihantar ke warung sebagai juadah sarapan.

Katanya, dia kini berkerja sambilan di kedai pembuatan roti dan kek di Klebang, menerima panggilan daripada guru sekolah yang mengucap tahniah.

“Guru meminta saya ke Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Melaka untuk mengambil keputusan,” kata anak pasangan Suratman Said, 62 dan Rokiah Haron, 59.

Sementara itu, Joan Toh Suzie, 18, dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Perempuan Methodist yang turut mencatatkan keputusan 10A+, bercadang melanjutkan pelajaran dalam bidang kedoktoran.

“Saya bercita-cita menjadi pakar tulang kerana ingin membantu ibu bapa yang mempunyai masalah tulang. Saya ingin menyambung pelajaran ke luar negara dengan memohon biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).

“Keluarga saya orang susah, ayah berniaga di pasar malam manakala ibu pula suri rumah yang kini mengasuh kanak-kanak,” katanya.

Selain Muhammad Mursyidin dan Toh Suzie, empat lagi pelajar di negeri ini yang mendapat semua 10 A+ dalam SPM 2018 adalah Emily Tan Tze Yin, Kua Shao Ming, Sukhmit Sing dan Gan Li Juan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 Mac 2019 @ 9:17 PM