Pasukan TPA-M13 tiba di Pangkalan Udara TUDM TUDM di Subang selepas melengkapkan misi keamanan di Mindanao. FOTO Saddam Yusoff
Siraj Mohd Zaini
siraj@hmetro.com.my


SELEPAS setahun menabur bakti di Filipina, Tim Pemantau Antarabangsa-Mindanao (TPA-M13) yang dianggotai 16 anggota dan pegawai dari pelbagai agensi keselamatan negara ini selamat tiba di tanah air, hari ini.

Ketibaan mereka disambut Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Jeneral Tan Sri Zulkifli Zainal Abidin di Pangkalan Udara Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) di Subang pada 5.45 petang tadi.

TPA-M13 yang diketuai Mejar Jeneral Datuk Mohd Nazir Mami itu membabitkan 10 pegawai dan seorang anggota ATM, dua pegawai polis dan dua pegawai awam melaksanakan misi sejak 14 Mac tahun lalu.

Sementara itu, Zulkifli berkata, TPA-M13 berjaya melengkapkan misi keamanan di Mindanao walaupun berdepan pelbagai cabaran dan ancaman akibat perselisihan faham antara kerajaan Filipina dan Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF).

Menurutnya, antara insiden yang berlaku termasuklah dua kejadian pengeboman di Julu, Sulu dan Zamboanga City berpunca daripada pertikaian hak milik tanah serta politik.

“Namun atas kredibiliti TPA-M13, situasi ini dapat dikawal daripada menjejaskan kelancaran proses perjanjian damai di antara kerajaan Filipina dan MILF.

“Dalam masa sama, pelaksanaan program pembangunan sosio-ekonomi oleh TPA-M13 juga menunjukkan hasil kedamaian serta meningkatkan keyakinan masyarakat setempat untuk terus mengekalkan ketenteraman yang diinginkan,” katanya ketika berucap pada majlis Sambutan Kepulangan dan Pembubaran TPA-M13 di sini.

Hadir sama Timbalan Panglima Tentera Darat Jeneral Datuk Hasagaya Abdullah, Timbalan Panglima Tentera Udara Leftenan Jeneral Datuk Seri Ackbal Abdul Samad dan Timbalan Panglima Tentera Laut Laksamana Madya Datuk Khairul Anuar Yahya.

Sementara itu, Zulkifli berkata, kredibiliti TPA-M13 turut mendapat perhatian kerajaan Filipina serta pucuk pimpinan MILF sepanjang berkhidmat di negara berkenaan.

“Kejayaan ini membuktikan komitmen kerajaan Malaysia untuk berdiri bersama kerajaan Filipina dan MILF dalam perjalanan mereka menuju ke arah keamanan.

“Seterusnya menyumbang kepada kemakmuran dan kestabilan negara kita,” katanya.

Beliau berkata, kesinambungan TPA-M13 diteruskan TPA-M14 yang diketuai Mejar Jeneral Datuk Yaacob Samiran yang kini berada di Mindanao selepas bertolak dari TUDM Subang, semalam.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 Mac 2019 @ 9:11 PM