Wan Hussin Wan Hassan, 55, maut sejurus motosikal ditungganginya berlanggar dengan sebuah lori. FOTO oleh Rosli Ilham
Rosli Ilham
am@hmetro.com.my


PATUTLAH abah sering berpesan supaya saya menjaga ibu dan adik, rupa-rupanya dia hendak `tinggalkan’ kami selama-lamanya,” kata Wan Syahila Wan Hussin, 16, selepas bapanya maut dalam kemalangan di Kilometer 24, Jalan Tok Kah - Jerangau, dekat Pasir Lawang Jerangau, Dungun, Terengganu hari ini.

Mangsa Wan Hussin Wan Hassan, 55, maut sejurus motosikal ditungganginya berlanggar dengan sebuah lori, kira-kira jam 11 pagi.

Kemalangan itu dipercayai berlaku ketika motosikal mangsa keluar dari simpang tiga di kawasan itu.

Pada masa sama, sebuah lori dipandu Mohamad Shamsul Baharin Zainal, 36, dari arah Jerangau ke Tok Kah bertembung motosikal mangsa.

Wan Syahila berkata, ketika kejadian, dia berada dalam kelas di Sekolah Menengah Kebangsaan Jerangau sebelum mendapat tahu mengenai kemalangan itu.

“Saya dibawa saudara ke Klinik Kesihatan Felda Jerangau untuk melihat keadaan ayah. Sebaik tiba, ayah sudah tiada.

“Dia meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke klinik kesihatan itu,” katanya ketika ditemui di Bilik Forensik Hospital Dungun.

Menurutnya, arwah ayahnya itu sering menghantar dia ke sekolah dan sejak kebelakangan ini kerap menasihatinya supaya belajar bersungguh-sungguh.

“Ibu (Fatimah Mat Zin, 53) dan adik bongsu (Wan Muhammad Firdaus Wan Hussin, 12) adalah OKU (orang kurang upaya).

“Abah menaruh harapan kepada saya menggalas tugas menjaga mereka sekiranya dia sudah tiada dan hari ini abah benar-benar pergi meninggalkan kami.

“Dua kak saya berusia 25 dan 23 tahun sudah berkahwin dan mempunyai anak serta tinggal di Ajil, Hulu Terengganu, jadi memang sayalah yang diharapkan untuk menjaga ibu dan adik,” katanya.

Wan Syahila berkata, kehilangan ayahnya itu benar-benar mencabar kekuatannya untuk belajar dengan lebih baik selain menjaga ibu dan adiknya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Baharudin Abdullah ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu.

Katanya, mayat mangsa kemudiannya dibawa ke Bilik Forensik Hospital Dungun untuk tindakan lanjut.

“Kes berkenaan akan disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 Mac 2019 @ 6:02 PM