Antara PATI yang ditahan Imigresen dalam operasi malam tadi. FOTO Ihsan JIM
Noorazura Abdul Rahman
am@hmetro.com.my


PEKERJA warga asing kilang ais di Alor Setar terjatuh dari siling rumah kedai ketika cuba lari dalam operasi Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Kedah malam tadi.

Bagaimanapun lelaki warga Myanmar berusia 20-an itu bernasib baik apabila hanya luka ringan sebelum ditahan dalam operasi bersepadu yang dinamakan Ops Mahir, Ops Selera dan Ops Sapu.

Dia antara 36 pendatang asing tanpa izin (PATI) yang ditahan selepas melakukan pemeriksaan terhadap 131 pekerja asing di sekitar Alor Setar dan Changlun, Jitra.

Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Kedah, Zuhair Jamaludin berkata, dalam operasi yang bermula jam 8.30 malam hingga 4.30 pagi itu, 27 lelaki dan seorang wanita Myanmar, masing-masing tiga lelaki warga Bangladesh dan tiga Pakistan serta seorang lelaki Indonesia dan seorang lelaki Vietnam ditahan.

“Ketika operasi itu terdapat seorang pekerja kilang ais yang lari bersembunyi di mesin pembeku ais setinggi 20 meter dan ada yang lari keluar mengikut pintu belakang kilang namun mereka semua berjaya ditahan.

“Selain operasi di kilang ais, operasi malam tadi juga tertumpu di rumah sewa, asrama pekerja asing, kedai makan, tapak pembinaan dan stor menyimpan barang pembinaan.

“Mereka yang ditahan didapati melakukan kesalahan imigresen,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Zuhair berkata, PATI berusia antara 17 hingga 53 tahun itu ditahan mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) kerana tiada dokumen perjalanan sah dan Seksyen 15(1)(c) iaitu tinggal lebih masa.

Katanya, mereka ditahan di lokap imigresen, Bangunan Kementerian Dalam Negeri (KDN), Alor Setar sebelum dihantar ke Depot Imigresen, Belantik, Sik.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 Mac 2019 @ 11:28 AM