Rosli Ilham
am@hmetro.com.my


“UBAT ini yang terakhir, lepas ni mak tak akan makan ubat lagi,” itu antara kata-kata terakhir Hasnah Awang, 64, kepada menantunya Adila Mohd Yusof, 27, sebelum warga emas itu maut dalam kemalangan, malam tadi.

Kemalangan yang berlaku 11.15 malam di Kilometer 88, Jalan Kuala Terengganu-Kuantan, dekat Bukit Bauk, Dungun, itu dipercayai berlaku apabila Proton Satria dipandu suami Hasnah, Mohd Rozi Mukhtar, 52, terbabas ke laluan kanan jalan sebelum bertembung dengan Perodua Viva yang datang dari arah bertentangan.

Sebuah motosikal jenis Honda RS150R yang ditunggang Tengku Zainuddin Tengku Setapa, 56, yang berada di belakang Perodua Viva terbabit cuba mengelak dan kemudian merempuh pula Proton Satria itu.

Pemandu Perodua Viva, Muhammad Iqmal Basysyar Haidi, 18, patah kaki kanan manakala rakannya, Muhammad Aqil Shahmi Rosli, 18, cedera di muka dan dagu sementara Tengku Zainuddin patah kaki dan tangan sebelah kanan.

Adila berkata, sebelum kejadian dia mengajak ibu dan bapa mentuanya itu bersiar di bandar raya Kuala Terengganu.

Katanya, mereka bertolak dari rumah mereka di Paka dengan menaiki dua kereta kira-kira 5 petang.

“Ibu dan bapa mentua naik Proton Satria itu manakala saya, suami dan anak-anak dengan sebuah kereta lain.

“Kami bersiar-siar dan mengajak mereka berdua makan di Paya Bunga Square dan arwah makan dengan banyak.

“Selepas makan, arwah mengambil beberapa biji ubat sambil berkata kepada saya supaya jangan bimbang kerana ubat yang dia makan itu adalah yang terakhir dan selepas ini tidak akan makan ubat lagi,” katanya.

Menurutnya, arwah ibu dan bapa mentuanya itu bertolak pulang ke Paka lebih awal kerana dia dan suami dan anak-anaknya ingin bersiar di Pantai Batu Buruk.

“Dalam perjalanan pulang iaitu ketika di Kelulut, Marang, saya dapat panggilan mereka berdua terbabit dalam kemalangan dan amat sedih apabila dimaklumkan ibu mentua meninggal dunia,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Baharudin Abdullah ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu.

Katanya, semua mangsa yang parah dan cedera dikejarkan ke Hospital Dungun untuk menerima rawatan lanjut.

“Mayat mangsa dibawa ke Bilik Forensik hospital sama untuk tindakan lanjut dan kes berkenaan akan disiasat mengikut seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 Mac 2019 @ 9:07 AM
ANGGOTA Bomba dan Angkatan Pertahanan Awam APM sedang memberi rawatan kecemasan kepada pemandu dan penumpang kereta Perodua Viva yang parah. FOTO Rosli Ilham