Pelajar Sekolah Kebangsaan Taman Scientex yang mengalami simptom sesak nafas akibat terhidu bahan kimia berbahaya dibawa ke Dewan Komuniti Taman Pasir Putih, Pasir Gudang bagi mendapatkan rawatan kecemasan pagi tadi. FOTO oleh Mohd Azren Jamaludin
Ibrahim Isa
ibrahim@hmetro.com.my


SEBANYAK 34 sekolah sekitar Pasir Gudang, Johor, diarah tutup serta merta berikutan pencemaran sisa kimia di Sungai Kim Kim sejak Khamis lalu.

Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik berkata, ketika ini Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri membabitkan Menteri Besar Johor, Datuk Osman Sapian sedang bersidang bersama agensi berkaitan termasuk Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ), Jabatan Alam Sekitar (JAS), Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Johor, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Majlis Keselamatan Negeri.

“Semalam saya sendiri melawat Pasir Gudang dan meluangkan masa hampir separuh hari menziarah mangsa di Hospital Sultan Ismail (HSI). Selain itu, saya singgah ke Bilik Gerakan Bencana di Dewan Taman Pasir Putih, di sana saya saksikan sendiri lebih 50 pelajar dihantar oleh ambulans tanpa henti dari sekolah berdekatan kerana sesak nafas dan mengalami simptom yang sama dengan mangsa sebelum ini.

“Selepas melihat situasi semakin meruncing saya mengarahkan semua sekolah dalam radius 3 kilometer ditutup serta-merta dan arahan ini membabitkan 11 sekolah secara keseluruhan.

“Malangnya, hari ini saya dimaklumkan keadaan semakin kritikal. Untuk mengelak perkara yang tidak diingini menimpa murid, pelajar dan warga sekolah, saya mengarahkan sebanyak 34 sekolah di sekitar Pasir Gudang ditutup serta-merta pada hari ini dan guru tidak perlu bertugas kerana keadaan masih bahaya,” katanya dalam satu kenyataan di laman facebooknya, hari ini.

Beliau menegaskan, sejak kes berlaku pada 7 Mac lalu, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) bekerjasama erat dengan dengan Kementerian Kesihatan Malaysia dan Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim untuk memastikan keselamatan murid, guru dan pekerja sekolah menjadi keutamaan.

“KPM memandang serius isu ini memandangkan ia membabitkan risiko nyawa murid, guru dan pekerja sekolah serta menggesa penjenayah yang melakukan kesalahan berat ini dibawa ke muka pengadilan dengan segera,” katanya.

SENARAI SEKOLAH DIARAHKAN TUTUP PADA 13 MAC 2019

--------------------------------------------------

1. SEKOLAH KEBANGSAAN TAMAN PASIR PUTIH

2. SEKOLAH MENENGAH KEBANGSAAN TAMAN PASIR PUTIH

3. SEKOLAH KEBANGSAAN PASIR PUTIH

4. SEKOLAH KEBANGSAAN TANJUNG PUTERI RESORT

5. SEKOLAH MENENGAH KEBANGSAAN TANJUNG PUTERI RESORT

6. SEKOLAH KEBANGSAAN KOTA MASAI 2

7. SEKOLAH MENENGAH KEBANGSAAN KOTA MASAI 2

8. SEKOLAH KEBANGSAAN KOTA MASAI 3

9. SEKOLAH MENENGAH KEBANGSAAN KOTA MASAI

10. SEKOLAH KEBANGSAAN KOTA MASAI

11. SEKOLAH KEBANGSAAN PERIGI ACHEH

12. SEKOLAH AGAMA KAMPUNG PASIR PUTIH*

13. SEKOLAH AGAMA TAMAN PASIR PUTIH*

14. SEKOLAH KEBANGSAAN SCIENTEX

15. SEKOLAH KEBANGSAAN TAMAN MAWAR

16. SEKOLAH MENENGAH KEBANGSAAN NUSA DAMAI

17. SEKOLAH MENENGAH KEBANGSAAN TAMAN RINTING 1

18. SEKOLAH MENENGAH KEBANGSAAN TAMAN CENDANA

19. SEKOLAH SENI MALAYSIA

20. SEKOLAH MENENGAH SCIENTEX

21. SEKOLAH KEBANGSAAN TAMAN BUKIT DAHLIA

22. SEKOLAH KEBANGSAAN TAMAN PASIR GUDANG 4

23. SEKOLAH KEBANGSAAN NUSA DAMAI

24. SEKOLAH KEBANGSAAN KOPOK

25. SEKOLAH KEBANGSAAN CAHAYA MASAI

26. SEKOLAH KEBANGSAAN TAMAN CENDANA

27. SEKOLAH KEBANGSAAN TAMAN RINTING 2

28. SEKOLAH KEBANGSAAN TAMAN RINTING 3

29. SEKOLAH MENENGAH KEBANGSAAN PASIR GUDANG 2

30. SEKOLAH MENENGAH DATO’ PENGGAWA TIMUR

31. SEKOLAH MENENGAH KEBANGSAAN PASIR GUDANG 3

32. SEKOLAH KEBANGSAAN MASAI

33. SEKOLAH JENIS KEBANGSAAN TAMIL PASIR GUDANG

34. SEKOLAH MENENGAH KEBANGSAAN PASIR GUDANG 4

*SEKOLAH AGAMA KAMPUNG PASIR PUTIH dan SEKOLAH AGAMA TAMAN PASIR PUTIH adalah sekolah di bawah Kerajaan Negeri Johor

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 Mac 2019 @ 5:03 PM