GAMBAR hiasan
Muhammad Apendy Issahak
apendy@nstp.com.my


SEORANG buruh binaan dibunuh dengan kesan kecederaan di leher serta tetakan di kepala dalam kejadian di sebuah rumah kongsi di tapak pembinaan sebuah masjid di Bidor, Perak, petang tadi.

Dalam kejadian kira-kira 3 petang itu, mangsa, Mohamad Rafiq Nazir Hussin, 25, warga Myanmar yang mempunyai kad Suruhanjaya Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) ditemui sudah tidak bernyawa di rumah kongsi berkenaan.

Ketua Polis Daerah Tapah, Superintendan Wan Azharuddin Wan Ismail berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian pada 5.05 petang daripada lelaki tempatan yang menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis (IPD) Tapah.

"Lelaki itu memaklumkan seorang lelaki warga Myanmar ditetak rakan senegara di tapak pembinaan masjid bersebelahan kem Pasukan Gerakan Am (PGA) Bidor.

"Mangsa dikatakan sudah mati di lokasi kejadian," katanya ketika dihubungi di sini malam ini.

Menurutnya, susulan itu sepasukan polis ke lokasi kejadian dan mendapati ia adalah sebuah rumah kongsi yang dibina dari papan di tapak pembinaan masjid.

"Siasatan mendapati jarak tempat kejadian dengan jalan raya utama lebih kurang 500 meter dengan kawasan keliling adalah semak samun dan kebun kelapa sawit.

"Mangsa dipercayai mati akibat kecederaan di bahagian leher menggunakan senjata tajam dan pada bahagian dahi ada kesan tetakan," katanya.

Wan Azharuddin berkata kejadian dipercayai berpunca daripada perselisihan faham berkenaan gaji antara mangsa yang baru bekerja lebih kurang sebulan di tapak pembinaan berkenaan.

"Suspek dalam kejadian ini adalah tiga lelaki Myanmar yang juga rakan rumah kongsi mangsa yang dikenali sebagai Rafiq, Boshr dan Habulah.

"Kes kini disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan polis sedang giat memburu ketiga-tiga suspek," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 Mac 2019 @ 11:24 PM