ANTARA pendatang asing yang diberkas anggota Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), pagi semalam. FOTO Ihsan Jabatan Imigresen
Hasbi Sidek
am@hmetro.com.my


KEDAI runcit, bengkel kereta, premis mencuci kereta dan gerai menggunakan khidmat warga asing di sekitar Kajang, Selangor, digempur Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), pagi semalam.

Operasi bermula jam 11 pagi dan tamat jam 8 malam itu berjaya menahan 24 lelaki serta wanita berusia antara 17 hingga 48 tahun yang didapati melanggar pelbagai kesalahan imigresen.

Pengarah Imigresen Negeri Selangor, Mohamad Shukri Nawi berkata, operasi berkenaan dilakukan hasil aduan dan maklumat awam berhubung kebanjiran warga asing di kawasan berkenaan.

“Seramai 40 warga asing diperiksa dan kami menahan seramai 24 individu atas pelbagai kesalahan imigresen. Seramai 21 yang ditahan adalah lelaki manakala selebihnya adalah wanita,” katanya.

Beliau berkata, operasi itu mensasarkan premis kedai runcit, bengkel kereta, premis mencuci kereta dan gerai di bahu jalan yang menggunakan khidmat pekerja warga asing.

“Semua pendatang asing tanpa izin (PATI) yang ditahan untuk siasatan lanjut dibawa ke Pejabat Bahagian Penguatkuasa JIM Negeri Selangor di Shah Alam.

“Mereka disiasat berdasarkan kesalahan mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tidak memiliki sebarang pas / permit yang sah dan Seksyen 15(1)(c) Akta yang sama kerana tamat tempoh pas serta Peraturan 39(b), Peraturan-peraturan Imigresen 1963 kerana menyalahgunakan pas.

“Dalam operasi kali ramai PATI didapati menyalahgunakan pas atau permit yang diberikan dengan bekerja di sektor yang berbeza. Terdapat juga PATI yang menggunakan Pas Lawatan (sosial) untuk melancong tetapi digunakan untuk bekerja tanpa kebenaran,” katanya.

Mohamad Shukri berkata, pihaknya memandang serius perkara itu dan majikan yang menggajikan PATI ini akan turut dikesan dan tindakan akan diambil mengikut undang-undang yang sedang berkuatkuasa.

Ini termasuk mendakwa majikan di mahkamah yang boleh membawa hukuman penjara sehingga lima tahun, denda dan turut dikenakan sebatan jika disabitkan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 Mac 2019 @ 9:33 PM