Mangsa kanak-kanak Azalea Hani Abdul Rahim, lima tahun, melecur akibat terkena sambal popiah panas
Nurul Hidayah Bahaudin
nurul.hidayah@hmetro.com.my


KANAK-kanak perempuan yang melecur seluruh badan akibat tersimbah sambal popia basah di rumah ibu saudaranya di Bandar Tasik Puteri, Rawang, Selangor, 7 Februari lalu, berada dalam keadaan stabil.

Dalam kejadian kira-kira jam 8 malam itu, Azalea Hani Abdul Rahim, lima tahun, dikejarkan ke Hospital Sungai Buloh akibat kecederaan melecur yang parah.

Ibu mangsa, Zalida Syuhana Ahmad Tamam, 43, berkata, anak bongsu daripada tiga beradik itu menunjukkan maklum balas positif selepas menjalani beberapa pembedahan sebelum ini.

“Alhamdulillah, dia sudah semakin sembuh, malah boleh bercakap dan bergerak sedikit susulan beberapa pembedahan dijalani sebelum ini.

“Namun, masih banyak lagi rawatan susulan perlu dilakukan selepas ini bagi memastikan dia pulih sepenuhnya,” katanya ketika ditemui di Hospital Sungai Buloh, di sini, hari ini.

Zalida berkata, Azalea perlu menjalani rawatan susulan bagi tempoh beberapa bulan lagi bagi memastikan dia kembali pulih.

“Saya berterima kasih kepada semua pihak yang banyak membantu termasuk memberi sumbangan bagi kos pembedahan dan rawatan lanjut,” katanya yang memaklumkan Azalea kini ditempatkan di Wad Kebakaran Hospital Sungai Buloh.

Sebelum ini, Harian Metro melaporkan Azalea selamat menjalani pembedahan hampir lima jam, 22 Februari lalu selepas mengalami kecederaan melecur dalam kejadian itu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 Mac 2019 @ 6:27 PM