RUZAANA bersama anggotanya melakukan pemeriksaan terhadap penumpang sebuah bas. FOTO Syamsi Suhaimi
Siti Rohana Idris
cnews@nstp.com.my


DUA pemandu bas ekspres warga tempatan ditahan pihak berkuasa kerana dipercayai berkomplot dengan seorang ejen wanita bagi membawa masuk pendatang asing tanpa izin (PATI) ke negara ini dalam serbuan di Bandar Baru Pasir Puteh, hari ini.

Mereka yang berusia 30-an dan 40-an ditahan jam 4.30 pagi ketika sedang membawa 15 PATI membabitkan 14 warga Kemboja dan seorang Myanmar dalam perjalanan dari Melaka ke Kelantan.

Ketua Bahagian Penguatkuasa Imigresen Malaysia (Imigresen) Kelantan Ruzaana Mohamed berkata, dalam serbuan itu, terdapat seorang bayi dan seorang kanak-kanak lelaki masing-masing berusia satu dan dua tahun.

“Ketika serbuan, terdapat 25 penumpang dan 15 daripadanya adalah PATI termasuk seorang wanita warga Kemboja berusia 30-an yang juga ejen membawa masuk PATI.

“PATI terbabit dipercayai bekerja di Melaka dan ingin pulang ke negara asal mereka melalui jalan haram,” katanya ketika ditemui di Pejabat Imigresen, Kota Bharu, hari ini.

Ruzaana berkata, pemandu bas ekspres itu juga cuba menawarkan bayaran kepada pegawai imigresen supaya dilepaskan namun tindakannya tidak berhasil.

“Dua pemandu serta ejen wanita itu ditahan mengikut Seksyen 26A Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007.

“PATI pula ditahan mengikut Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan Seksyen 6(1)(c) akta yang sama atas kesalahan tinggal lebih masa dan gagal mengemukakan sebarang dokumen perjalanan yang sah,” katanya.

Menurutnya, bas ekspres terbabit turut disita mengikut Seksyen 49A Akta Imigresen manakala semua PATI dibawa ke Depot Imigresen Tanah Merah mengikut Seksyen 51(5)(b) Akta Imigresen untuk tindakan lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 Mac 2019 @ 5:30 PM