GAMBAR hiasan
Norsyazwani Nasri
am@hmetro.com.my


POLIS Sarawak menjejaki seorang lelaki, Mohd Aszlan Mat Muda, bagi membantu siasatan kes penipuan pakej pelancongan luar negara.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Sarawak, Superintendan Mustafa Kamal Gani Abdullah berkata, sehingga kini pihaknya menerima sebanyak 32 laporan berhubung penipuan pakej pelancongan luar negara yang ditawarkan oleh lelaki berusia 30 tahun itu.

Beliau berkata, penipuan yang dilakukan dalam tempoh 23 Disember 2018 hingga 8 Mac lalu, membabitkan kerugian berjumlah RM118,567.

“Suspek biasanya menawarkan pakej pelancongan sehingga memperdaya mangsa untuk membuat pembayaran bagi proses pendaftaran tiket kapal terbang ke akaun peribadinya.

“JSJK Sarawak sudah membuka lima kertas siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan berkenaan kes itu,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Mengulas lanjut, Mustafa Kamal berkata, semua mangsa penipuan itu adalah dari daerah Kuching, Miri, Sibu, Padawan dan Sri Aman.

“Antara pakej pelancongan yang ditawarkan suspek ialah pelancongan ke Gunung Kinabalu dan Kuala Lumpur, manakala melancong ke luar negara pula seperti ke Korea, Vietnam, Nepal, Thailand, Jogjakarta, Bangkok, Jepun dan Turki.

“Bagi semua pakej pelancongan itu mangsa sudah membuat pembayaran antara RM274 hingga RM38,250 ke akaun bank suspek mengikut pakej pelancongan yang ditawarkan, namun hasil siasatan mendapati pakej pelancongan yang ditawarkan itu sebenarnya tidak wujud,” katanya sambil memaklumkan suspek gagal dihubungi selepas pembayaran dibuat.

Sehubungan itu, beliau memohon bantuan orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai suspek supaya menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Zurraidda Bujang di talian 019-8274217 atau Pegawai Risikan Operasi, Inspektor Hamizan Ismail di talian 016-4455695.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 Mac 2019 @ 1:58 PM