JIMMY (kanan) diiringi Pengarah Badan Kawalselia Air Johor (BAKAJ), Mohd Riduan Md Ali (dua dari kanan) dan Jamaluddin (kiri) melihat Empangan Sungai Layang Atas. FOTO Hairul Anuar Rahim
Mohd Sabran Md Sani
sab@hmetro.com.my


KIRA-kira 40,000 penduduk Felda Loke Heng, Bukit Waha dan Sungai Gembut di Kota Tinggi akan mengalami catuan air bermula hujung minggu ini berikutan paras air mentah di muka sauk loji rawatan air (LRA) di kedua-dua kawasan itu menyusut.

Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan Antarabangsa, Pelaburan dan Utiliti negeri, Jimmy Puah Wee berkata, catuan pertama kali sejak 2016 itu terpaksa dilakukan berikutan paras air jatuh ke tahap catuan.

“Catuan air ini tidak boleh dielakkan selepas bacaan LRA di kedua-dua kawasan itu terus merosot ke tahap catuan berbanding paras normal.

“Kira-kira 15,000 pengguna bekalan air di Felda Loke Heng dan Felda Bukit Waha akan berdepan catuan fasa pertama hujung minggu ini selepas muka sauk LRA Loke Heng menyusut ke paras 1.43 meter berbanding paras normal 2.7 meter,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mengadakan lawatan ke Loji Rawatan Air Sultan Iskandar, Pasir Gudang, hari ini.

Hadir sama, Ketua Komunikasi Korporat SAJ Ranhill Sdn Bhd ( SAJ Ranhill), Jamaluddin Jamal.

Lawatan selama sejam itu antara lain bagi meninjau sumber air penting yang membekalkan ke kawasan Johor Selatan termasuk Johor Bahru, Johor Jaya, Bandar Seri Alam, Permas Jaya dan Johor Bahru.

Jimmy berkata, fasa kedua catuan membabitkan penduduk Sungai Gembut, Kota Tinggi apabila paras air di LRA Sungai Gembut menyusut ke paras 0.19 meter berbanding paras normal 0.70 meter.

“Kira-kira 25,000 penduduk di kawasan Sedili dan Sungai Gembut akan terbabit catuan fasa kedua kerana paras muka sauk itu hanya mampu bertahan selama lima hari saja,” katanya.


KEADAAN paras air yang surut di Empangan Sungai Layang Atas, Pasir Gudang. FOTO Hairul Anuar Rahim

Katanya, pengumuman mengenai tarikh catuan itu akan dimaklumkan SAJ Ranhill Sdn Bhd sebaik fasa catuan dimulakan hujung minggu ini.

Menurutnya, paras Empangan Sembrong Barat menyusut ke paras 8.30 meter berbanding paras normal (9.50 meter).

“Bagaimanapun paras itu mampu bertahan selama 30 hari untuk mencecah paras catuan lapan meter dan empangan itu membekalkan air mentah bagi dirawat di LRA Sembrong Barat yang mempunyai liputan bekalan air terawat kepada sebahagian kawasan Kluang.

“Sementara, paras Empangan Machap menyusut kepada 14.75 meter berbanding 15.80 meter dengan paras itu mampu bertahan selama 24 hari untuk mencapai paras catuan 14.02 meter,” katanya.

Menurutnya, empangan itu membekalkan air di Simpang Renggam, Pontian Utara dan sebahagian Kluang.

Katanya, penyusutan paras air di LRA dan empangan di negeri ini ketara tahun ini meskipun fenomena panas dan kering bermula sejak 2016.

“Pada 2017 dan 2018, keadaan cuaca masih panas dan kering tetapi tidak ke tahap air di empangan menyusut seperti yang berlaku tahun ini.

“Justeru pelbagai usaha dilakukan untuk memastikan empangan utama dapat membekalkan sumber air bersih kepada pengguna, domestik dan industri,” katanya.

Menurutnya, pelbagai langkah dilakukan kerajaan negeri dan Ranhill SAJ untuk mengelak berlakunya catuan air.

“Ini termasuk memantau simpanan air mentah di empangan dan muka sauk, mengurangkan pengambilan air mentah untuk dirawat, pengepaman air mentah menggunakan kaedah ‘pontoon’ untuk kawasan empangan di Sembrong Barat dan Machap.

“Selain itu mengaktifkan ‘tubewell’ yang diusahakan BAKAJ sebagai sumber alternatif dan mengaktifkan sumber baru dari Empangan Kahang untuk tambahan bekalan air mentah di Kluang,” katanya.

Mengulas LRA Sultan Iskandar Jimmy berkata, loji berkenaan adalah loji terbesar dari segi ‘output’ sumber air di Johor dengan memberi perkhidmatan kepada 600,000 penduduk.

“Bacaan terkini LRA ini 21.26 meter dan kawasan seluas 7.6 hektar ini mampu bertahan selama 69 hari sebelum mencapai paras kritikal 16 meter,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 Mac 2019 @ 12:40 PM