THEEBHASHINI (dari kiri) berkongsi kegembiraan bersama Nurnajwa Maisarah Mohamad Fauzan Philip dan Wong Ai Vee sambil menunjukkan keputusan cemerlang mereka. -Foto NSTP
Fairuz Zaidan
fairuzaidan@nstp.com.my


MELAKA: “Semoga kejayaan ini menjadi pendorong buat saya untuk terus melangkah ke hadapan, sekali gus membalas jasa ayah,” kata pelajar cemerlang Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2018, P Theebhashini, 20, yang memperoleh Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 4.0.

Menurut anak kepada pemandu lori dan penoreh getah itu, usaha dan kerja kerasnya selama ini bukan hanya untuk masa depannya, malah mahu mengubah nasib keluarga.

Anak bongsu daripadanya lima beradik mengakui walaupun ada beranggapan belajar di tingkatan enam mencabar dan berisiko untuk melanjutkan pengajian ke universiti, tetapi itu bukan penghalang.

“Ketika berada di Semester Satu, keputusan peperiksaan saya tidak memuaskan dan nekad untuk bangkit.

“Jika orang lain boleh lakukannya, kenapa tidak saya yang mempunyai tanggungjawab untuk ditunaikan,” katanya ditemui ketika pengumuman keputusan STPM 2018 di Dewan Bestari, Jabatan Pendidikan Negeri, Bukit Baru, semalam.

Menurut Theebhashini, dia tidak menafikan terkejut sebaik diumumkan antara pelajar cemerlang dan tidak menyangka menjadi calon tunggal dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Datuk Haji Talib Karim, Alor Gajah, yang memperoleh PNGK 4.0.


ABU Bakar (tiga dari kanan) beramah mesra bersama pelajar cemerlang STPM.

Pengarah Pendidikan negeri, Datuk Abu Bakar Sahari berkata, seramai 1,160 calon STPM 2018 di negeri ini lulus penuh termasuk 23 daripadanya memperoleh PNGK 4.0.

“Gred Purata Negeri mencatatkan 2.89 iaitu meningkat 0.12 mata atau 4.33 peratus berbanding 2.77 pada tahun 2017.

“Seramai 564 calon STPM 2018 atau 48.16 peratus pula memperoleh PNGK 3.0 dan ke atas iaitu peningkatan sebanyak 6.15 peratus berbanding 547 calon atau 42.0 peratus pada tahun 2017,” katanya.

Dalam pada itu, Abu Bakar berkata, usaha JPN Melaka mewujudkan Pusat Tingkatan Enam di SMK Durian Daun di Melaka Tengah dan SMK Tun Syed Zahiruddin di Jasin tahun lalu membuahkan hasil apabila berjaya meningkatkan prestasi pelajar STPM secara keseluruhan.

“Kami akan menambah Pusat Tingkatan Enam pada masa depan dengan tumpuan di Alor Gajah. Pada masa sama, kami akan mengekalkan pengajaran tingkatan enam di SMK Tinggi Melaka,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 Mac 2019 @ 7:00 AM