BURUH binaan warga Indonesia, Niwar Ali, 50, didakwa di Mahkamah Sesyen Ipoh atas tuduhan sebabkan kematian rakan senegaranya di sebuah tapak projek pembinaan di Seri Iskandar 18 tahun lalu. FOTO Muhaizan Yahya
Muhammad Apendy Issahak
apendy@nstp.com.my


BURUH binaan warga Indonesia didakwa di Mahkamah Sesyen Ipoh, hari ini atas kesalahan menyebabkan kematian rakan senegaranya di tapak projek pembinaan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Perak Tengah, Seri Iskandar, 18 tahun lalu.

Tertuduh, Niwar Ali, 50, yang mempunyai taraf pemastautin tetap didakwa dengan niat menyebabkan kematian Rebin Sumadi Suwoko pada 14 April 2001, 1.25 pagi di hadapan kedai runcit di tapak pembinaan terbabit.

Dia dituduh melakukan kesalahan yang tidak terjumlah kepada kesalahan membunuh dan didakwa mengikut Seksyen 304(a) Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara maksimum 30 tahun dan boleh juga dikenakan denda.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya, Sally Chay Mei Ling di hadapan Hakim Azman Abu Hassan, manakala Niwar diwakili peguam K Nahtan.

Tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh dan pihak pendakwaan juga tidak mencadangkan sebarang jaminan kerana tertuduh adalah warga Indonesia serta tidak mempunyai keluarga di Malaysia.

Peguam tertuduh kemudian memohon mahkamah membenarkan jaminan kerana kesalahan dihadapi adalah kesalahan yang boleh diberi jaminan serta Nawir mempunyai seorang abang yang juga pemastautin tetap dan hadir ke mahkamah untuk menjamin.

Hakim Azman bagaimanapun tidak memberi sebarang jaminan terhadap tertuduh dan menetapkan 10 April ini sebagai sebutan semula kes.

Harian Metro pada 26 Februari lalu melaporkan polis menahan dua suspek yang dipercayai terbabit kes pembunuhan seorang lelaki yang ditemui di tapak projek pembinaan IPD Perak Tengah, Seri Iskandar, 18 tahun lalu.

Dua suspek terbabit iaitu lelaki Indonesia berusia 50 tahun yang mempunyai kad pengenalan pemastautin tetap dan seorang wanita warga Indonesia, 49, ditahan di hadapan rumah sewa di Hulu Selangor, Selangor, 8.45 malam 25 Februari lalu.

Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Superintendan Mohamad Zainal Abdullah berkata, penahanan suspek bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan terhadap kematian lelaki warga Indonesia terbabit.

Menurutnya, dalam kejadian 5.45 pagi, 14 April 2001 itu, Rebin Sumadi Suwoko, 32, ditemui mati dengan kesan tetakan senjata tajam di bahagian kanan leher, belakang pinggang dan kaki.

Berita berkaitan

'18 tahun kau lari, ditahan jua'

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 Mac 2019 @ 10:53 AM