SUKARELAWAN UniSZA bersama keluarga Muhammad Hisham sebelum memulakan program CSR. -Foto NSTP
Zaid Salim
am@hmetro.com.my


PERMAISURI: “Suka... cantik,” kata Muhammad Hisham Ismail, 11, sebaik ditanya perasaannya selepas melihat rumah yang didiami bersama keluarga bertukar wajah.

Dua perkataan itu diungkap murid tahun lima Sekolah Kebangsaan Putera Jaya di sini, yang menerima anugerah Unsung Hero daripada Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Mohamed Hanipa Maidin.

Ini susulan kisahnya menyuap adik perempuannya, Nur Dina, 7, makan ketika di kantin sekolah tular itu cukup untuk menggambarkan perasaan gembiranya melihat rumah didiami bersama ibu dan bapa, Nor Seri Idayu Mahamed, 32, dan Ismail Setapa, 36, serta tiga adik-beradik dicat dan diganti dengan peralatan serba baharu.

Sejak 14 tahun menetap di Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) di Kampung Pak Kancil Dalam di sini, keluarga murid orang kurang upaya (OKU) berkenaan tidak berpeluang mengindahkan rumah mereka.

Kini segalanya bertukar ceria apabila impian melihat rumah dicat baharu menjadi kenyataan menerusi Program Jalinan Kasih Media Terengganu.


SUKARELAWAN bekerjasama mengecat bahagian luar rumah.

Program khidmat sosial masyarakat (CSR) anjuran Pertubuhan Karyawan Kreatif Terengganu (Karyawan Kreatif) dengan kerjasama Kelab Wartawan Media Terengganu diadakan Jumaat lalu itu turut disertai 36 sukarelawan Kor Asas Kewartawanan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA).

Menurut Ismail, dia berusaha memenuhi impian anak mereka namun kos menaik taraf rumah membabitkan perbelanjaan besar dan di luar kemampuannya yang hanya bekerja kampung dengan berpendapatan tidak menentu.

“Terima kasih kepada media Terengganu dan pelajar sukarelawan UniSZA atas sumbangan yang tidak disangka-sangka ini.

“Tercapai juga impian kami nak rumah comel pada Aidilfitri nanti,” katanya.

Hadir sama, Presiden Karyawan Kreatif Nik Muhamad Zaid Nik Salim dan Timbalan Presiden Kawat, Ahmad Syafri Husnaini Mohamad.


MUHAMMAD Hisham menyuap kuih ke mulut adiknya, Nur Dina.

Nik Muhamad Zaid berkata, program julung kali kedua-dua pertubuhan itu diharap dapat menceriakan kehidupan keluarga Muhamad Hisham, sekali gus menyuburkan lagi kasih sayang antara mereka.

Katanya, selain mengecat bahagian luar dan dalam rumah, keluarga berkenaan turut menerima tikar getah baharu, perabot, barangan makanan dan wang tunai dengan jumlah keseluruhan hampir RM3,000 hasil sumbangan pengamal media di negeri ini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 Mac 2019 @ 7:00 AM