Barisan kepimpinan GPMS yang baru dipilih bagi penggal 2018-2021. FOTO Ihsan GPMS
Yusmizal Dolah Aling
yusmizal@hmetro.com.my


MEREMAJAKAN Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) supaya kekal relevan.

Itulah tekad presidennya, Mohd Alif Anas Md Noor selepas dipilih secara rasmi menerajui badan itu bagi penggal 2018-2021, hari ini.

Menurutnya, menyedari pelbagai cabaran semasa terutama berkaitan aspek pendidikan pelajar Melayu, beberapa perancangan jangka masa pendek dan panjang sudah disusun bagi memastikan agenda memartabatkan penguasaan ilmu tercapai.

Menurutnya, pendekatan baru dan lebih segar diyakini dapat membangkitkan minat pelajar untuk meneroka lebih banyak cabang pengetahuan sekali gus menjadikan bangsa itu lebih berjaya, setanding yang lain di negara ini.

“Saya menyeru kepada semua ahli GPMS di negeri dan cawangan supaya berikanlah peluang untuk pendekatan baru dan segar, manfaatkan teknologi media baru untuk mendekati golongan muda,” katanya ketika dihubungi.

Beliau diumumkan secara rasmi sebagai presiden pada Persidangan Agung Tahunan GPMS yang disempurnakan Sultan Kedah Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah.

Alif Anas berkata, GPMS akan terus berjuang memartabatkan pendidikan orang Melayu sejajar penubuhannya selain memberikan penerangan betapa pentingnya generasi muda mendaulatkan institusi diraja di negara ini.

“Kita juga akan melalui proses meremajakan dan timbalan saya, Syed Mohsen Syed Zakaria baru berusia 27 tahun, sudah tentu dia lebih faham apa yang diperlukan generasi muda.

“Insya-Allah, kita akan pastikan GPMS bergerak seperti mana sepatutnya dan berharap agenda belajar terus belajar ini akan dapat dilaksanakan sebaik mungkin,” katanya.

Barisan jawatankuasa lantikan yang turut diumumkan ialah Ridhwan Mohd Rosli sebagai Setiausaha Agung, Fazreen Ismadi (Bendahari Agung), Adib Anas Md Noor (Ketua Penerangan) dan Nik Noor Mohammad Ameer sebagai Penolong Setiausaha Agung.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 10 Mac 2019 @ 10:11 PM