KERETA yang parkir di tepi Jalan Tengku Ampuan Rahimah berhadapan Kondominium Seri Mahligai, Seksyen 9 rosak ditimpa pokok. FOTO Saddam Yusoff
Siraj Mohd Zaini
siraj@hmetro.com.my


BEBERAPA lokasi di sekitar daerah ini terjejas akibat pokok tumbang berikutan hujan lebat dan ribut melanda, petang ini.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Penyelamat dan Bomba (JBPM) Selangor Norizham Mohd Nudin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 5.27 petang daripada orang awam yang memaklumkan kejadian berkenaan.

Menurutnya, jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Shah Alam, Subang, Kota Anggerik bersama Pusat Gerak Pantas Bandaraya Shah Alam membantu memotong dan mengalihkan pokok yang menghalang laluan.

"Antara kawasan yang terbabit termasuklah di Seksyen 8 dan Seksyen 9 serta berhampiran Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam, Jalan Liku dan Dewan Angsana.

"Beberapa kenderaan juga dilaporkan rosak ditimpa pokok dalam kejadian berkenaan," katanya.

Norizham berkata, usaha mengalihkan pokok tumbang itu sedang dijalankan dengan kekuatan anggota seramai 24 orang.


Pokok tumbang akibat ribut menyebabkan kandang kuda di Taman Botani Negara Shah Alam rosak. FOTO Sairien Nafis

Sementara itu, beberapa jalan dan lokasi lain termasuk Lebuhraya Lembah Klang Baru (NKVE) dari Setia Alam menghala ke Shah Alam serta di sekitar Taman Botani Negara turut mengalami kejadian pokok tumbang.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 10 Mac 2019 @ 9:12 PM