Mohd Husni Mohd Noor
mhusni@hmetro.com.my


PERBADANAN Putrajaya (PPj) mengesahkan sebanyak 122 batang pokok tumbang susulan hujan lebat dan ribut luar biasa melanda pusat pentadbiran Kerajaan Persekutuan petang semalam.

Presiden PPj Datuk Dr Aminuddin Hassim berkata, kawasan yang terjejas itu membabitkan kawasan kejiranan serta taman awam di Presint 1, 8, 9, 10, 11, 14 dan 16.

Menurutnya, kejadian sama turut menyebabkan 115 batang pokok sekah (dahan pokok yang jatuh kena ribut).

“Selain itu, kami mendapati lima tiang lampu turut tumbang dalam kejadian sama,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, pihaknya sudah menggerakkan pasukan bagi melaksanakan kerja pengalihan pokok dan pembersihan bermula dari 6 petang semalam hingga 3 pagi tadi.

Aminuddin berkata, operasi bersepadu itu membabitkan kekuatan 30 orang dengan menggunakan tiga skylift, lima lori, sebuah kren dan dua kenderaan perincih (shredder).


Kren terpaksa digunakan untuk mengalihkan pokok tumbang. FOTO Mohd Fadli Hamzah

Pekerja PPj melakukan kerja mengalihkan pokok tumbang akibat hujan lebat dan ribut di sekitar Putrajaya. FOTO Mohd Fadli Hamzah

Menurutnya, operasi itu turut dibantu Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Bahagian Pengurusan Hartanah (BPH) dan Alam Flora Sdn Bhd.

“Buat masa ini, kerja pembersihan siap hampir 60 peratus. PPj dan agensi terbabit akan meneruskan kerja pembersihan dan pengalihan sehingga selesai,” katanya.

Semalam, kejadian ribut itu juga menyebabkan beberapa pintu cermin di Masjid Putra pecah.

Kejadian sama turut merosakkan siling kelas di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Putrajaya Presint 11.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 10 Mac 2019 @ 7:56 PM