RAMLI (kanan) bersama Siti Azlina serta dua anaknya, Muhammad Amirul Hisham (dua kanan) dan Muhammad Amirul Hakim berkomunikasi dengan menggunakan telefon bimbit. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
Siti Rohana Idris
am@hmetro.com.my


BIARPUN dilahirkan dengan masalah pendengaran dan bisu, ia tidak sesekali menjadi alasan untuk empat beranak ini mengecualikan diri menunaikan kewajipan bersolat.

Menyedari kekurangan diri, Ramli Harun, 57, dan isterinya, Siti Azlina Ibrahim, 35, tidak pernah jemu mencari ilmu meningkatkan ilmu agama, malah dua anak yang juga pekak dan bisu sejak lahir diajar menunaikan solat bermula dari usia kanak-kanak mereka lagi.

Bagi Ramli, dua anaknya Muhammad Amirul Hisham, 15 dan Muhammad Amirul Hakim, 12, perlu diterapkan dengan amalan bersolat bermula usia muda lagi sebagai jati diri mereka menjadi orang Islam.

Menurutnya, ada dalam kalangan orang kurang upaya (OKU) pekak yang beranggapan solat boleh dikecualikan untuk golongan itu, namun tanggapan itu baginya salah sama sekali.

“Sebaliknya kami wajib mengerjakan seperti orang normal. Cuma ada beberapa perbezaan antara amalan solat OKU pekak dengan orang normal.

“Kami perlu belajar menunaikan ibadat, terutama yang khusus untuk golongan OKU kerana penguasaan kami agak terbatas, selain kami harus mengetahui cara bersolat yang betul,” katanya ketika ditemui dalam program Audit Solat Warga Pekak siri 2 di Institut Pendidikan Guru Kampus Kota Bharu (IPGKKB) di Kota Bharu, semalam.

Pasangan OKU dari Kampung Teliar, Pasir Mas bersama kedua-dua anaknya itu antara lebih 150 peserta yang hadir dalam program yang dianjurkan Program Kejururawatan, Pusat Pengajian Sains Kesihatan, Universiti Sains Malaysia (USM) Kubang Kerian dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Khas IPGKKB.

Program yang turut dihadiri Timbalan Pengarah IPGKKB, Dr Abdullah Yusoff itu dirasmikan Timbalan Mufti Kelantan, Datuk Nik Abdul Kadir Nik Muhamad.

Dalam temu bual wartawan Harian Metro melalui penterjemah jurubahasa isyarat, Ramli berkata, meskipun mereka golongan OKU, mereka juga tidak boleh ‘mengabaikan’ solat.

Lantaran itu, katanya, dia bersama isteri dan anaknya tidak mahu ketinggalan menyertai program itu untuk mengukuhkan lagi amalan solat mereka.

“Persatuan Orang Pekak Kelantan (POPK) yang disertai saya dan isteri juga mengadakan kelas fardu ain seminggu sekali, kami tidak ketinggalan hadir ke kelas untuk meningkatkan ilmu agama kami,” katanya.

Program yang berlangsung itu diadakan di surau IPGKKB. Pengisian program bermula dengan cara mengambil wuduk dengan betul, bacaan (mengikut kemampuan) serta cara menunaikan solat.

Sebahagian orang pekak dan bisu belajar cara solat pada Program Audit Solat Warga Pekak Siri 2 di IPGKKB, Pengkalan Chepa. FOTO Nik Abdullah Nik Omar

Pensyarah Jabatan Pendidikan Khas IPGKKB, Dr Nik Hassan Seman berkata, penganjuran program itu untuk memberi kesedaran kepada golongan istimewa itu belajar solat dengan betul.

“Menerusi audit yang dibuat hari ini (semalam) masih ramai lagi yang gagal mengambil wuduk dengan sempurna, apatah lagi dari segi bacaan atau tatacara solat.

“Begitu pun, kesungguhan mereka untuk belajar wajar dipuji,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 10 Mac 2019 @ 12:24 AM