Anggota bomba mengeluarkan mayat lelaki yang tersepit di tempat duduk kenderaan dipandunya. FOTO Ihsan Pembaca
Dziyaul Afnan Abdul Rahman
am@hmetro.com.my


SEORANG lelaki maut selepas lori simen dipandunya terbalik Setar di persimpangan lampu isyarat di Seriab, Kangar, hari ini.

Mangsa, Alias Ramli, 50, meninggal dunia di tempat kejadian akibat parah pada anggota badan selepas tersepit di tempat duduk pemandu.

Ketua Polis Daerah Kangar, Superintendan Wari Kiew berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu, 3.30 petang hari ini.

Menurutnya, hasil siasatan, lori dipandu mangsa ketika itu dalam perjalanan menghala ke Alor Setar.

“Ketika di Persiaran Wawasan, pemandu lori itu cuba membelok ke kiri di persimpangan lampu isyarat di situ, namun kenderaannya hilang kawalan.

“Lori itu terbabas sebelum terbalik di persimpangan lampu isyarat berkenaan,” katanya ketika dihubungi wartawan Harian Metro, hari ini.

Katanya, mangsa yang tersepit di tempat duduk pemandu meninggal dunia dalam kenderaannya.

“Pasukan Bomba dan Penyelamat dipanggil di tempat kejadian untuk mengeluarkan mayat mangsa.

“Mayat dibawa ke Unit Forensik, Hospital Tuanku Fauziah (HTF) untuk bedah siasat,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 Mac 2019 @ 6:53 PM