Kapal layar dinaiki dua pelayar warga asing yang hampir karam berhampiran Pulau Undan. FOTO Ihsan Maritim Malaysia
Mohd Hilmie Hussin
mohdhilmie@hmetro.com.my


HAMPIR tiga jam cemas di kapal layar yang hampir karam, dua pelayar warga asing akhirnya menarik nafas lega selepas diselamatkan Pasukan Maritim Malaysia Melaka/Negeri Sembilan (Maritim Malaysia) hari ini.

Jurumudi warga Portugal, Terrance, 68, dan warga Mexico Alfredo, 50, diselamatkan Maritim Malaysia 5.30 pagi tadi di Pulau Undan, Melaka.

Difahamkan, kapal layar itu mengalami kebocoran jam 3 pagi akibat terlanggar objek keras di dasar perairan pada kedudukan 0.1 batu nautika dari Pulau Undan.

Pengarah Maritim Malaysia Melaka/Negeri Sembilan Kepten Maritim Amran Daud berkata, pihaknya menerima panggilan daripada Sistem Pengawasan Laut (SWASLA) di Lumut, Perak pada jam 3.35 pagi yang memaklumkan mengenai isyarat kecemasan mengenai sebuah bot layar hampir terbalik di kedudukan 0.1 Batu Nautika dari pulau terbabit.

Menurutnya, berdasarkan maklumat yang diterima, Maritim negeri bergegas menggerakkan aset ke lokasi bagi operasi mencari dan menyelamat (SAR).

Menurutnya, sebaik tiba di lokasi kejadian, dua kru terbabit ditemui dan mendapati mereka menyelamatkan diri dengan menggunakan ‘sea boat’ milik mereka ke jeti Pulau Undan.

“Memandangkan keadaan laut yang bergelora, bot layar tersebut tenggelam dan hampir karam,” katanya.

Amran berkata, kedua-dua mangsa tidak mengalami kecederaan dan dibawa pulang ke Jeti Maritim di Kuala Linggi untuk tindakan lanjut.

Beliau berkata, kes terbabit pertama dilaporkan pada tahun ini membabitkan kejadian kecemasan di laut perairan Melaka dan Negeri Sembilan.

“Difahamkan, mereka (mangsa) baharu membeli bot layar itu di Langkawi, Kedah dan memulakan pelayaran sejak 3 Mac lalu menuju ke Batam sebelum ke destinasi akhir di Hong Kong.

“Kita juga menasihati orang ramai, lebih berhati-hati dan menitikberatkan aspek keselamatan ketika berada di laut. Sekiranya ada kecemasan di laut terus hubungi talian Pusat Operasi Maritim 06-3876730 dan 999 yang beroperasi secara 24 jam,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 Mac 2019 @ 6:02 PM