A Samad menyampaikan ucapan di Program Sehari Bersama Pak Samad di UniSZA, Kampus Gong Badak, Kuala Nerus, hari ini. FOTO Imran Makhzan
Helmy Abd Rahman
helmy_rahman@nstp.com.my


HAL mengenai udara dan lautan antara yang perlu diteroka dan didokumentasikan dalam bentuk penulisan.

Sasterawan Negara Datuk Seri A Samad Said berkata, kedua-dua bidang itu selain beberapa yang lain perlu dikupas supaya dapat menjadi rujukan bagi generasi akan datang.

“Masih banyak perkara belum dikupas atau didokumentasikan dalam bentuk penulisan, contohnya perkara mengenai udara dan lautan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan seorang hadirin pada Program Sehari Bersama Pak Samad di Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Kuala Nerus, hari ini.

Dalam program sama, A Samad turut berkongsi kecintaannya terhadap buku sehingga menganggap buku sebagai perhiasan diri yang terlalu tinggi nilainya.

“Banyak duit saya dihabiskan membeli buku, malah saya setiap hari membaca pelbagai jenis buku, baik karya sastera, politik mahupun ekonomi,” katanya.

Menjawab soalan seorang lagi hadirin, A Samad berkata, beliau tidak kisah menerima kecaman di media sosial berikutan berani menyuarakan pandangan kontroversi terutama berkaitan isu politik.

“Umur saya sudah 87 tahun, sudah tua, jadi saya tak fikir kritikan atau kecaman memberi kesan kepada diri saya,” katanya.

A Samad dilantik sebagai Sasterawan D UniSZA bagi menyahut saranan Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik yang mahu universiti awam menempatkan Sasterawan Negara di institusi masing-masing bagi menghargai sumbangan golongan itu kepada negara.

Menerusi program berkenaan, setiap sasterawan dicadangkan menyumbang kira-kira 10 hingga 30 jam setahun untuk menjayakan pelbagai aktiviti di peringkat universiti dan kementerian antaranya sesi bedah buku dan sembang ilmiah.

Sementara itu, Naib Canselor UniSZA Prof Datuk Dr Hassan Basri Awang Mat Dahan berkata, satu ruangan dipanggil Galeri Pak Samad diwujudkan di UniSZA hasil kolaborasi antara universiti itu dengan Dewan Bahasa dan Pustaka.

“Di galeri ini, kita menempatkan lebih 100 karya dan catatan atau dokumentasi Pak Samad.

“Galeri ini juga sebahagian pengisian Program Sasterawan D UniSZA yang diharap bakal merintis lebih banyak perkongsian ilmu kesarjanaan beliau bersama mahasiswa dan masyarakat sekitar universiti ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 Mac 2019 @ 5:08 PM