Anggota bomba menangkap anak buaya berhampiran kawasan perumahan Foh Phin Bintangor semalam. FOTO Khalid Latip
Khalid Latip
cnews@nstp.com.my


PENDUDUK Perumahan Foh Phin di Bintangor gempar dengan kehadiran seekor anak buaya yang tiba-tiba muncul di kawasan itu petang semalam.

Kehadiran buaya sepanjang kira-kira dua meter itu disedari penduduk jam 6.40 petang sebelum menghubungi bomba.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Bintangor, Nicholas Belulin berkata, bertindak atas maklumat itu, sepasukan anggota bomba dikejarkan ke lokasi kejadian.

“Ketika tiba di lokasi kejadian, buaya berkenaan kelihatan agresif dan sedang bergerak di atas jalan di taman perumahan itu.

“Anggota bertugas terpaksa menggunakan tali, kasi dan besi penjerut untuk menangkap buaya berkenaan,” katanya hari ini.

Katanya, reptilia itu kemudian dibawa ke Balai Bomba dan Penyelamat Bintangor sementara menunggu diserahkan kepada Sarawak Forestry Corporation (SFC) untuk tindakan lanjut.

“Hasil siasatan mendapati reptilia itu tersesat memasuki kawasan perumahan itu dari Sungai Bintangor yang terletak berhampiran,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 Mac 2019 @ 1:02 PM