Norizuan Shamsuddin
norizuan@hmetro.com.my


BERTEMPIARAN lari meninggalkan gerai dan barang perniagaan sehingga sanggup menggadaikan nyawa dengan melintas jalan secara melulu tanpa menghiraukan keadaan lalu lintas yang sesak.

Tindakan nekad itu dilakukan sekumpulan pendatang asing tanpa izin (PATI) bagi meloloskan diri daripada serbuan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) di Pasar Borong Selayang, Kuala Lumpur dan Pasar Borong Meru, Klang, semalam.

Dalam serbuan bermula jam 6 hingga 10 pagi, 47 PATI yang dipercayai berniaga dan bekerja di dua pasar borong terbabit ditahan menerusi Op Bersepadu berkenaan.

Selain itu, 14 warga tempatan yang disyaki menggajikan warga asing tanpa permit turut ditahan.

Menerusi operasi itu, lebih 94 pegawai dan anggota JIM Putrajaya dan Kuala Lumpur dikerah bagi menahan PATI yang disyaki berniaga dan bekerja di situ, selain mengambil tindakan terhadap majikannya.

ANTARA PATI yang diperiksa di Pasar Borong Selayang, semalam.

Malah, sebelum serbuan sekumpulan pegawai dan anggota JIM turut menyamar sebagai pelanggan bagi mengenal pasti warga asing yang berniaga serta bekerja di kawasan berkenaan.

Bagaimanapun, selepas menyedari kawasan terbabit digempur pihak berkuasa, mereka turut bersembunyi di sebalik timbunan barangan dan kotak.

Sewaktu disoal siasat ada antara warga asing terbabit enggan mengakui bekerja di pasar borong berkenaan dengan menyamar sebagai pelanggan.

Namun, hasil pemeriksaan mendapati warga asing terbabit tiada dokumen perjalanan sah.

Ketua Pengarah JIM, Datuk Khairul Dzaimee Daud berkata, menerusi operasi dua pasar borong terbabit, 32 lot perniagaan dan 169 warga asing diperiksa..

Katanya, pemeriksaan mendapati 68 warga asing terbabit pemegang kad Pesuruhjaya Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR).

“Seramai 47 individu adalah PATI yang melakukan pelbagai kesalahan membabitkan 22 warga Myanmar, warga Indonesia (16), warga Bangladesh (4) dan India (5).

“Mereka yang berusia antara 25 dan 48 tahun dibawa ke depoh tahanan sementara bagi siasatan.

“Seramai 14 majikan ditahan untuk siasatan kerana disyaki menggajikan warga asing tanpa permit,” katanya.

Menurutnya, pihaknya bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) dan agensi penguatkuasaan lain termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dalam menyelesaikan masalah PATI di negara ini.

“Tindakan mengesan majikan dan pemilik lot di pasar borong itu dibuat dengan kerjasama PBT.

“Berhubung isu warga tempatan yang menyewakan premis atau lot pasar borong kepada warga asing, JIM menyokong tindakan PBT membatalkan lesen mereka,” katanya.

“Ini antara tindakan perlu bagi menangani lambakan PATI yang menjalankan perniagaan di pasar borong.

“Tindakan tegas ini perlu ke atas segelintir majikan tempatan yang tidak menyokong sepenuhnya usaha membanteras PATI, sebaliknya bertindak menggaji, melindungi dan mengeksploitasi warga asing,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 Mac 2019 @ 9:01 AM