RANGKA Perodua Kancil yang ditemui. (Gambar kecil) Kereta Perodua Kancil yang diubah suai untuk menggantikan bahagian enjin dicuri dari kenderaan lain. FOTO Ihsan Polis
Recqueal Raimi
am@hmetro.com.my


KUMPULAN yang terbabit kegiatan curi kereta di Tuaran tumpas dengan penahanan dua lelaki berusia 30 dan 31 tahun di Kampung Kionsom Baru, Tamparuli, kelmarin.

Tangkapan itu susulan penahanan lima lagi suspek pada Rabu lalu.

Ketua Polis Daerah Tuaran, Deputi Superintendan Dzulbaharin Ismail berkata, tangkapan itu dilakukan Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tuaran.

“Dalam operasi itu, pihak kami turut menemui rangka kereta Perodua Kancil.

“Pemeriksaan mendapati kereta yang ditemui itu menggunakan enjin yang dicuri pada rangka kereta Perodua Kancil lain berdasarkan nombor casis kenderaan terbabit,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Dzulbaharin berkata, polis turut merampas kad cukai jalan serta satu keping plat besi yang memaparkan nombor casis kenderaan yang dicuri.

“Hasil siasatan lanjut mendapati, modus operandi kumpulan ini mensasarkan mangsa yang meninggalkan kenderaan di tepi jalan atau kawasan perumahan.

“Kes masih dalam siasatan mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan,” katanya.

Rabu lalu, polis menangkap lima suspek berusia 14 tahun sehingga 33 tahun termasuk dua wanita di Kampung Roun, Tuaran dan rumah kedai di Pekan Tamparuli.

Terdahulu, Dzulbaharin meminta penduduk di Tuaran supaya memaklumkan sebarang kegiatan jenayah yang berlaku di sekeliling mereka di talian 088-791933, 088-791966 dan 088-791977.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 Mac 2019 @ 8:55 AM