GAMBAR hiasan
Zuliaty Zulkiffli
am@hmetro.com.my


SEORANG lelaki maut dilanggar kereta Proton Saga FLX dipandu adiknya di hadapan rumah keluarga mereka di Kampung Haji Bunga, Pendang, kelmarin.

Difahamkan, sebelum insiden 8.30 malam itu berlaku, mangsa, Mohamad Zaki Abd Shukor, 39, yang dipercayai penagih dadah, dikatakan mengamuk menggunakan sebilah parang di rumah itu ketika meminta wang daripada ibunya.

Ketua Polis Daerah Pendang, Deputi Superintendan Arriz Sham Hamezah berkata, ibu dan adik perempuan mangsa yang berada di rumah ketika itu mengurungkan diri di dalam sebuah bilik di tingkat bawah rumah kerana ketakutan.

“Mangsa dikatakan mengetuk pintu bilik itu. Adiknya kemudian membuka pintu dan ibunya memberikan wang sebanyak RM50 kepada mangsa sebelum lelaki itu beredar,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Arriz Sham berkata, pada masa sama ibu mangsa menghubungi seorang lagi anak lelakinya yang berusia 33 tahun dan memberitahu mengenai insiden itu.

Menurutnya, tidak lama kemudian, ibu dan anak perempuannya itu terdengar bunyi dentuman kuat di hadapan rumah sebelum melihat mangsa terbaring di hadapan kereta Proton Saga FLX dipandu adik mangsa yang baru tiba di rumah.

Katanya, selepas perlanggaran itu berlaku, suspek dilihat berlari ke pejabat Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Pendang yang terletak di belakang rumah mereka.

“Mangsa maut di tempat kejadian dan mayatnya dibawa ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) Alor Setar untuk bedah siasat.

“Suspek yang tampil membuat laporan 9.45 malam selepas itu, ditahan untuk membantu siasatan. Hasil siasatan, polis percaya suspek sengaja melanggar mangsa kerana tiada kesan brek di lokasi kejadian,” katanya.

Arriz Sham berkata, suspek direman tujuh hari bermula semalam untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

“Semakan terhadap rekod mangsa pula, lelaki itu didapati mempunyai 12 rekod jenayah lampau berkaitan dadah dan jenayah, termasuk kes samun,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 Mac 2019 @ 1:00 AM