SUSPEK dibawa polis ke IPDSPT untuk siasatan lanjut. FOTO ihsan polis
Shamsul Munir Safini
shamsulmunir@hmetro.com.my


KONON pergi solat Jumaat namun sebaliknya menagih dadah di ladang kelapa sawit.

Itu taktik digunakan sebahagian daripada 35 penagih dadah berusia 26 hingga 60 tahun yang diberkas polis di Kampung Bukit Teh, Machang Bubok, hari ini.

Dalam serbuan antara jam 6.45 pagi hingga 4 petang itu, seramai 35 lelaki termasuk seorang wanita diberkas polis kerana menagih dadah di kawasan terbabit.

Difahamkan, ada antara mereka yang menipu pasangan masing-masing termasuk ibu bapa mereka kononnya mahu menunaikan solat Jumaat sebaliknya pergi ke ladang berkenaan untuk melepaskan gian dadah.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata, pihaknya menerima maklumat daripada orang ramai mengenai aktiviti penagihan dadah di situ sebelum melakukan risikan.

“Polis kemudian melakukan serbuan sebelum memeriksa 37 individu di situ termasuk seorang wanita.

“Hasil ujian saringan air kencing yang dilakukan, 35 daripada mereka positif dadah,” katanya.

Menurutnya, 22 daripada suspek pernah ditahan sebelum ini kerana menagih dadah manakala 13 lagi merupakan penagih baru.

Katanya, tiada rampasan dadah dilakukan dalam operasi itu dan kesemua suspek dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Tengah (IPDSPT) untuk tindakan selanjutnya.

Nik Ros Azhan berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 Mac 2019 @ 8:15 PM