BOT nelayan warga Vietnam yang ditahan. FOTO Ihsan APMM
Norasikin Daineh
norasikin_daineh@nstp.com.my


SERAMAI 17 nelayan Vietnam ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dalam satu operasi khas di perairan Pulau Gaya, Kota Kinabalu, 4 pagi semalam.

Semua warga Vietnam berusia antara 26 hingga 56 tahun itu ditahan selepas didapati sembilan daripada kru bot nelayan terbabit tidak mempunyai permit yang sah.

Pengarah Maritim Sabah, Laksamana Maritim Kamaruszaman Abu Hassan berkata, bot nelayan itu ditahan lima batu nautika barat Pulau Gaya ketika operasi dilaksanakan sepasukan anggota dari Zon Maritim Kota Kinabalu.

“Hasil pemeriksaan awal mendapati bot terbabit berdaftar dan mempunyai lesen yang sah.

“Bagaimanapun, pemeriksaan lanjut mendapati sembilan daripada 17 kru tiada dalam senarai nama kru,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Sehubungan itu, bot ditahan dan diiring masuk ke Jeti APMM Sepanggar untuk siasatan lanjut.

“Kru bot terbabit disyaki melakukan kesalahan mengikut Seksyen 19(4)(t) iaitu

melanggar syarat permit penangkapan ikan asing.

“Jika didapati bersalah setiap kru bot yang tidak mempunyai permit boleh dikenakan denda tidak lebih RM5,000 setiap seorang,” katanya.

Kamaruszaman turut menegaskan APMM tidak berkompromi dengan mana-mana pihak yang melanggar undang-undang dan peraturan di perairan negara khususnya di Sabah.

“Saya juga berharap komuniti maritim melaporkan sebarang aktiviti perikanan yang menyalahi undang-undang dan peraturan maritim terutama pencerobohan bot nelayan asing,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 Mac 2019 @ 8:49 AM