ANGGOTA Bomba dan Jabatan Kesihatan membawa seorang mangsa yang mengalami sesak nafas selepas terhidu bau bahan kimia yang melimpah di Sungai Kim kim berdekatan dengan Sekolah Kebangsaan Taman Pasir Putih, Pasir Gudang. FOTO Ihsan Pembaca
Mohd Sabran Md Sani
sab@hmetro.com.my


DUA sekolah yang terjejas akibat pencemaran gas dipercayai metana di Sungai Kim Kim di Kota Masai Pasir Gudang, di Johor Bahru, ditutup tiga hari bermula hari ini.

Timbalan Pengarah Pendidikan Negeri Johor, Azman Adnan berkata, Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) juga memantau rapi keadaan kedua-dua sekolah terbabit, selain membatalkan semua aktiviti kokurikulum pada Sabtu ini.

“JPN Johor akan memantau dengan rapi keadaan di kedua-dua sekolah terbabit dan juga sekolah-sekolah lain di kawasan berhampiran.

“Kami akan memutuskan sama ada keputusan menutup perlu dilanjutkan ataupun sebaliknya pada hari Ahad depan dengan nasihat daripada pihak yang berwajib,” katanya, hari ini.

Katanya, dua sekolah yang terjejas akibat pencemaran gas metana itu membabitkan Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Pasir Putih dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pasir Putih pagi tadi ditutup sehingga Sabtu ini.

Sehingga 5 petang tadi, seramai 28 orang pelajar dari kedua-dua sekolah itu dimasukkan ke hospital dan klinik berhampiran untuk rawatan.

“Seramai 19 orang dihantar ke Hospital Sultan Ismail (HSI), manakala dua lagi dirawat di Hospital Penawar serta tujuh lagi di Klinik Kesihatan Pasir Gudang.

“Daripada jumlah berkenaan seramai 16 orang masih ditahan di wad iaitu sembilan pelajar sekolah menengah dan tujuh orang murid sekolah rendah, manakala murid-murid lain dibenarkan pulang ke rumah,” katanya menambah pengurusan SK Taman Pasir Putih menghubungi Balai Bomba dan Penyelamat Pasir Gudang sebaik mendapati bau gas yang sangat kuat di kawasan sekolah itu.

“Bau gas berpunca daripada bahan kimia di Sungai Kim Kim. Pihak bomba dan penyelamat juga mengesahkan ada kebocoran gas berlaku di luar kawasan sekolah dan meminta supaya premis sekolah dikosongkan serta merta bagi mengelak sebarang perkara yang tidak diingini berlaku.

“Pengurusan sekolah atas nasihat Jabatan Pendidikan Negeri Johor, dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Pasir Gudang berdasarkan prosedur operasi Standard (SOP) juga mengarahkan semua murid mengosongkan sekolah,” katanya.

Ibu bapa dan penjaga juga dimaklumkan dan diminta mengambil anak masing-masing dari sekolah dan diminta memastikan keselamatan jika berkenderaan sendiri sewaktu pulang ke rumah.

Katanya, jabatan ini juga menjunjung kasih kepada Permaisuri Johor Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah atas keprihatinan tuanku berangkat ke Hospital Sultan Ismail (HSI) bertemu murid-murid yang terbabit.

“Terima kasih juga kepada Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam dan Pendidikan negeri, Aminolhuda Hassan yang turut sama melawat murid yang terbabit dan semua pihak termasuk semua pasukan keselamatan,” katanya.

Berita berkaitan

'Oil boom' halang gas metana merebak

Gas kimia: 1,400 pelajar diminta kosongkan sekolah

[UPDATE] 8 kritikal terhidu gas metana

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 Mac 2019 @ 7:24 PM