Gambar hiasan
Siti A’isyah Sukaimi
sitiaisyah@hmetro.com.my


KERAJAAN bersetuju menangguhkan pelaksanaan pengenaan duti eksais ke atas minuman bergula mulai 1 April kepada 1 Julai ini selepas mengambil kira pandangan semua pihak.

Ketua Pengarah Kastam Datuk Seri T Subromaniam berkata, kerajaan menerima maklum balas dan pandangan daripada pihak industri pengeluar minuman terhadap cadangan pengenaan duti eksais berkenaan.

“Penangguhan ini bagi memberi tempoh masa mencukupi kepada industri pengeluar minuman untuk membuat persediaan yang diperlukan.

“Di samping itu bagi memberi ruang kepada Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) untuk membuat persiapan sewajarnya termasuk mengadakan jerayawara (jelajah) dan melesenkan pengilang minuman bergula di bawah Akta Eksais 1976,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menerusi Belanjawan 2019, kerajaan mengumumkan mengenai cadangan untuk memperkenalkan duti eksais mulai 1 April 2019 pada kadar 40 sen per liter ke atas dua kategori minuman bergula yang dikilangkan dalam bentuk pembungkusan sedia diminum dengan nilai ambang kandungan gula.

Berdasarkan pengumuman itu, air minuman di bawah kepala kod tarif 22.02 yang mengandungi gula tambahan atau bahan pemanis lain yang mengandungi gula melebihi lima gram per 100 mililiter dan jus buah-buahan dan sayur-sayuran di bawah kepala kod tarif 20.09 yang mengandungi gula melebihi 12 gram per 100 mililiter.

Selain itu, Subromaniam berkata, kerajaan juga bersetuju menaikkan nilai ambang kandungan gula daripada lima gram per 100 mililiter kepada tujuh gram per 100 mililiter bagi produk minuman berasaskan susu yang mengandungi laktosa (flavoured milk) di bawah kepala kod tarif 22.02 tidak termasuk produk minuman susu soya.

Katanya, kenaikan nilai ambang bagi produk itu menunjukkan keprihatinan kerajaan terhadap usaha untuk terus menggalakkan pengambilan produk berasaskan susu yang mengandungi paras kandungan gula lebih sihat dalam kalangan pengguna.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 Mac 2019 @ 7:16 PM