Anggota bomba memadamkan kebakaran di Bukit Gua Tedung. FOTO Ihsan Bomba
Mohd Hafizee Mohd Arop
hafizee@nstp.com.my


KAWASAN seluas 16 hektar di Bukit Gua Tedung berhampiran Kampung Air Ganda, Gerik terbakar hari ini.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak berkata, pihaknya menerima panggilan 8.34 pagi sebelum Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Gerik dibantu Pengkalan Hulu dan Taiping ke lokasi kejadian.

Katanya, anggota dibahagikan kepada dua kumpulan untuk menjalankan kerja pemadaman yang turut dibantu 12 kakitangan Jabatan Perhutanan.

“Maklumat awal daripada orang awam mengatakan kebakaran berlaku di Bukit Laba namun selepas pemantauan bersama Jabatan Perhutanan mendapati kawasan yang terjejas adalah di Bukit Gua Tedung yang berketinggian 314 meter.

“Ketika tiba di lokasi, api sedang marak dan merebak ke Gunung Tujuh dan operasi pemadaman yang dibahagikan kepada dua kumpulan melakukan teknik pecah api serta memadamkan bara,” katanya.

Jurucakap berkenaan berkata, pihaknya menghadapi kesukaran untuk masuk ke lokasi kerana perlu melalui kawasan cerun berbukit dan menyeberangi sungai.

“Anggota bergerak ke lokasi kejadian dengan melalui Bukit Laba dan setakat ini api terbakar perlahan.

“Seramai 14 anggota BBP Gerik, dua BBP Pengkalan Hulu, dua BBP Taiping sedang menjalankan operasi itu,” katanya.

Sementara itu, mengenai kebakaran 30 peratus di Hutan Simpan Gunung Korbu yang berlaku sejak kelmarin, jurucakap berkenaan berkata, operasi pemadaman masih dijalankan menggunakan jalan darat.

Katanya, setakat ini kebakaran hanya tinggal lima peratus membabitkan sisa-sisa bara api dan operasi pemadaman masih berjalan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 Mac 2019 @ 5:27 PM