AMRAN melihat dusun buah-buahan miliknya di Kampung Biak. FOTO Noorazura Abdul Rahman
Noorazura Abdul Rahman
am@hmetro.com.my


CUACA panas yang melanda negeri di utara ketika ini turut memberi kesan kepada pemilik dusun buah-buahan apabila pokok yang ditanam mulai layu dan memerlukan penjagaan yang teliti.

Justeru ia menuntut masa petani dengan lebih lama selain terpaksa mengeluarkan kos yang tinggi untuk membekalkan air ke setiap pokok.

Bagi pemilik dusun di Kampung Padang Panjang, Malau di Jitra, Bai Haki Saad, 48, dia sudah mengeluarkan modal sebanyakRM5,000 bagi membeli paip dan pam untuk memastikan pokok buah-buahan itu dapat bertahan sebelum bermulanya musim buah yang dijangka pada penghujung Jun ini.

Katanya, dia mulai bimbang sekiranya bahang berterusan akan menjejaskan hasil buah-buahan di tanah seluas tujuh hektar.

“Ada beberapa pokok sudah kecut akibat cuaca panas, antara pokok yang ada di dusun ini adalah durian, dokong, manggis, langsat, cempedak dan petai.

“Setiap 0.28 hektar ataupun serelung mengeluarkan hasil kira-kira dua tan, air di sungai juga semakin surut sehingga bekalan air kurang memuaskan dan perlahan, kadang-kadang saya perlu berada di dusun sehingga malam bagi memastikan setiap pokok dapat disiram,”katanya.

Sementara itu, bagi pemilik dusun di Kampung Biak, Jitra, Amran Ismail, 40, pengalaman lima tahun lalu akibat cuaca panas menyebabkan separuh daripada pokok durian yang ditanam mati.

Katanya, dia kini lebih berhati-hati dan terpaksa menyiram kira-kira 100 pokok durian di tujuh hektar dusun setiap pagi dan petang.

“Saya sendiri turut membeli pam walaupun air di parit semakin cetek, pada 2014 akibat tiada pam serta musim panas yang berpanjangan hampir empat bulan, separuh pokok durian saya mati dengan kerugian ribuan ringgit.

“Saya mohon supaya Jabatan Pertanian dapat memberi perhatian kepada nasib pemilik dusun di sekitar Malau ini, kira-kira 200 hektar dusundi sini akan terjejas jika musim panas ini berlarutan.

“Harap mereka dapat memantau dan memberi khidmat nasihat serta bantuan seperti pam air, dusun buah-buahan di sini sangat terkenal dan sering menjadi perhatian pengunjung serta pemborong seluruh negara,jika hasil buah kurang, pendapatan kami juga akan turut terjejas, “katanya.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Pertanian Negeri Kedah, Eliyas Saad, berkata, pihaknya membuat pemantauan setiap hari di sekitar kawasan dusun buah-buahan mahupun ladang tanaman lain.

Katanya, musim panas yang berlaku kini seperti bencana yang perlu dilalui oleh pemilik dusun berikutan sumber air mereka sangat terhad dan terpaksa bergantung kepada air yang dipam dari sungai atau parit.

“Bagaimanapun, pihak saya mencadangkan beberapa kaedah bagi memastikan pokok yang ditanam dapat bertahan iaitu dengan cara serkupan panas menggunakan daun-daun kering yang perlu dikumpulkan di tepi perdu pokok dan disiram.

“Daun-daun itu akan melembabkan kawasan tanah pada pokok, cuma mereka dinasihatkan menyiram pokok di awal pagi dan lewat petang sahaja.

“Selain itu pemilik dusun boleh membeli sejenis jeli silicon dari kedai yang menjual bahan pertanianyang berfungsi untuk memegangdan melepaskan air secara pelahan-lahan, ia akan memastikan akar pokok menyerap air secara berpanjangan,”katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 Mac 2019 @ 10:53 AM