ANTARA pekerja asing yang diperiksa dalam Ops Bersepadu di KP Perdana. FOTO Zaid Salim
Zaid Salim
am@hmetro.com.my


ANGGOTA Jabatan Imigiresen Malaysia (JIM) Terengganu terpaksa merempuh dinding zink tapak pembinaan bagi menahan lelaki warga Indonesia yang meloloskan diri dalam serbuan Ops Bersepadu (Sapu), Kuala Terengganu, semalam.

Dalam serbuan 2.30 petang itu, warga asing berusia 30-an yang leka bekerja di tapak pembinaan rumah berkembar dua tingkat di kawasan perumahan KP Perdana, cuba melarikan diri selepas melihat kehadiran pihak berkuasa.

Bukan itu sahaja, anggota JIM Terengganu juga terpaksa berlari lebih 100 meter bagi menghalang cubaan beberapa warga asing yang melarikan diri bagi mengelak ditahan.

Bagaimanapun, kecekapan dan usaha keras pegawai dan anggota JIM Terengganu berbaloi apabila berjaya menahan warga asing berkenaan.

Pengarah JIM Terengganu, Rahim Hanafi berkata, operasi bermula pada 2 hingga 5.30 petang dilakukan di tiga lokasi membabitkan daerah Kuala Terengganu dan Marang.

Katanya, 120 pekerja asing diperiksa sebelum 24 daripadanya ditahan kerana melakukan kesalahan mengikut Akta Imigresen 1959/63.

“Semua yang ditahan terdiri daripada 11 warga Bangladesh, Indonesia (10 orang), Pakistan (dua) dan seorang warga Myanmar.

“Daripada jumlah itu, 13 orang ditahan mengikut Seksyen 6(1)(c) kerana tidak memiliki dokumen pengenalan diri, Seksyen 15(1)(c) kerana tinggal lebih masa (seorang) dan 10 lagi yang melanggar syarat pas disiasat mengikut Perkara 39(b) Peraturan-peraturan Imigresen 1963,” katanya.

Katanya, semua warga asing berusia antara 22 hingga 50 tahun dibawa ke Depot Tahanan Imigresen Ajil, Kuala Berang, Hulu Terengganu untuk siasatan lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 Mac 2019 @ 9:02 AM