SEBAHAGIAN dan anak benih padi dirampas dalam satu serbuan di sebuah gudang di Simpang Empat, Alor Setar, semalam. FOTO ihsan SPRM.
Muhaamad Hafis Nawawi
mhafis@hmetro.com.my


SEBANYAK 33 tan baja dan 100 tan anak benih padi bernilai RM150,000 dirampas dalam satu serbuan di gudang di Simpang Empat, Alor Setar, semalam.

Operasi bersama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kedah, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA) itu dijalankan bermula 4 petang hingga 11 malam tadi.

Pengarah SPRM Kedah, Datuk Shaharom Nizam Abd Manap berkata, lima pegawai SPRM, 10 pegawai KPDNHEP dan empat pegawai MOA terbabit dalam operasi itu.

Menurutnya, serbuan dijalankan selepas gudang itu disyaki menjalankan aktiviti penjualan baja subsidi serta penjualan anak benih padi tidak sah.

“Dikatakan pihak tertentu membekalkan baja subsidi kepada gudang untuk dibuat pembungkusan baharu sebelum ia dipasarkan dengan harga tinggi.

“Hasil serbuan mendapati gudang itu tidak mempunyai lesen untuk menjual baja,” katanya dalam satu kenyataan media, malam tadi.

Shaharom Nizam berkata, pihak KPDNHEP menyita 33 tan baja dianggarkan bernilai RM53,000 manakala MOA menyita 100 tan anak benih padi tidak sah dianggarkan bernilai RM97,000.

“Pemilik gudang terbabit akan dipanggil untuk memberi keterangan lanjut kepada KPDNPHEP untuk siasatan mengikut Peraturan 3 (1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974.

“Kes itu turut disiasat mengikut Akta Kawalan Padi Dan Beras 1994 yang boleh dikenakan denda tidak melebihi RM25,000,” katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata, tiada kes disiasat mengikut Seksyen 17 (b) Akta SPRM diperoleh.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 Mac 2019 @ 12:58 AM