Laporan dalam portal berita Harian Metro
Nurul Hidayah Bahaudin
nurul.hidayah@hmetro.com.my


PEMILIK akaun Twitter @alvinchow33 yang ditahan hari ini selepas menghina agama Islam, Nabi Muhammad SAW dan isteri baginda, Saidatina Aisyah akan direman esok.

Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, suspek ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 505(c) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

“Orang ramai diingatkan supaya tidak menyalahgunakan media sosial atau sebarang rangkaian komunikasi dengan memuat naik atau berkongsi kenyataan berbentuk provokasi yang menyentuh sensitiviti mana-mana agama serta kaum di negara ini,” katanya dalam satu kenyataan di Kuala Lumpur hari ini.

Terdahulu, Harian Metro melaporkan Alvin Chow Mun Fai ditahan dalam serbuan oleh Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Selangor di sebuah pusat beli-belah Plaza Pudu 5 petang tadi.

Difahamkan suspek turut dikesan mempunyai empat rekod jenayah lampau serta rekod dikehendaki polis, namun butiran rekod berkenaan sedang diperolehi.

Semalam, Mohamad Fuzi Harun menerusi satu kenyataan memaklumkan polis menerima 929 laporan dan membuka 16 kertas siasatan berhubung individu yang menghina agama Islam, Nabi Muhammad SAW dan isteri baginda, Saidatina Aisyah.

Katanya, polis sudah mengambil tindakan dengan menahan serta mengambil keterangan tiga individu dan masih memburu seorang lagi.

Antara individu yang ditahan adalah lelaki menggunakan nama Bakakuk atau nama sebenar Mohd Shahrulnizam Stanley Sigan, 29, Ahad lalu di Labuan dan direman hingga hari ini.

Individu lain adalah pemilik akaun Facebook Ayea Yea dikenal pasti milik Alister Anak Cogia yang ditahan di Bau, Sarawak, Isnin lalu dan direman hingga hari ini.

Individu ketiga ditahan di Petaling Jaya, Isnin lalu adalah pemilik akaun Facebook menggunakan nama Yazid Kong atau nama sebenarnya Mohd Yazid Kong Abdullah, 52, dan direman Selasa lalu.

Berita berkaitan

'Alvin Chow' hina Islam, nabi ditahan

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 Mac 2019 @ 10:51 PM